Khamis, 14 March 2019 | 3:58pm

Juri arah J&J bayar wanita hidap kanser RM118.5 juta

LOS ANGELES: Seorang juri di California semalam mengarahkan Johnson & Johnson (J&J) membayar RM118.5 juta kepada seorang wanita mendakwa menghidap kanser selepas menggunakan bedak talkum syarikat itu yang mengandungi asbestos.

Hukuman yang dijatuhi Mahkamah Agung California di Oakland itu, adalah kekalahan terkini konglomerat penjagaan kesihatan terbabit yang sedang berdepan 13,000 dakwaan berhubung bedak talkum keluarannya di seluruh negara.

J&J berkata pihaknya akan merayu, berdasarkan “kesilapan serius prosedur dan bukti” yang diutarakan sepanjang perbicaraan.

Mereka mendakwa peguam yang mewakili wanita terbabit pada dasarnya gagal untuk membuktikan talkum bayi itu mengandungi asbestos.

Syarikat itu bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut berhubung kesilapan yang dimaksudkan semasa perbicaraan.

Tuntutan itu difailkan Terry Leavitt, yang mendakwa menggunakan Johnson Baby Powder dan Shower to Shower pada 1960an hingga 1970an dan didiagnos dengan mesothelioma pada 2017.

Ia adalah kes pertama daripada berpuluh kes membabitkan talkum keluaran J&J yang dijadual untuk dibicarakan pada 2019. - Reuters

Berita Harian X