Isnin, 25 Februari 2019 | 10:07am
Guaido memberi isyarat dari tepi sebuah trak bantuan di sebelah Jambatan Antarabangsa Tienditas di Cucuta, Colombia, sebelum cubaan melintasi sempadan ke dalam Venezuela, kelmarin. -Foto AFP
Guaido memberi isyarat dari tepi sebuah trak bantuan di sebelah Jambatan Antarabangsa Tienditas di Cucuta, Colombia, sebelum cubaan melintasi sempadan ke dalam Venezuela, kelmarin. -Foto AFP

'Bebaskan' Venezuela - Guaido

CUCUTA: Tekanan antarabangsa semakin meningkat ke atas pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, dengan Amerika Syarikat (AS) menegaskan, pentadbirannya ‘bakal berakhir’ selepas usaha pembangkang membawa masuk bantuan kemanusiaan ke negara itu bertukar hari berdarah.

Presiden sementara Juan Guaido menggesa masyarakat antarabangsa menimbang ‘semua langkah untuk membebaskan’ Venezuela selepas pertembungan di lintasan sempadan menyebabkan empat orang maut sejak Jumaat lalu.

Kesatuan Eropah (EU) mengutuk penggunaan kekerasan dan kumpulan bersenjata awam oleh kerajaan Maduro bagi menyekat kemasukan bantuan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, beliau ‘terkejut dan sedih’ dengan kematian orang awam.

Guaido dijangka mengambil bahagian dalam mesyuarat Kumpulan Lima hari ini, disertai kebanyakan negara Amerika Latin di Bogota, Colombia, dan menggesa masyarakat antarabangsa bersedia untuk ‘semua kemungkinan’ berkaitan Maduro.

Presiden Colombia, Ivan Duque berkata, ‘kerajaan sah’ Venezuela menyertai secara rasmi kumpulan itu dalam mesyuarat, di mana Naib Presiden AS Mike Pence akan mewakili negara itu.

Setiusaha Negara AS Mike Pompeo berkata, beliau yakin pemerintahan Maduro bakal tamat, menyalahkan keganasan sempadan ke atas pengikut setia bersenjata pemimpin itu dikenali ‘colectivos.’

“Kami menyasar misi tunggal, memastikan rakyat Venezuela mendapat demokrasi yang mereka berhak terima,” katanya dalam rancangan ‘State of the Union’ CNN.

Presiden Donald Trump berkata, Washington tidak menolak tindakan ketenteraan.

Bantuan kemanusiaan, kebanyakannya dari AS, menjadi punca pertelingkahan antara Maduro dan Guaido, 35, pemimpin Perhimpunan Kebangsaan Venezuela yang mengisytiharkan dirinya pemangku presiden sebulan lalu.

Negara itu dibelenggu krisis kemanusiaan yang menyaksikan kadar kemiskinan meningkat ketika kemelesetan dan inflasi tinggi berterusan.

“Hari ini kami mengukuhkan kejayaan semalam, esok kami mengukuhkannya lebih lagi. Tiada satu pun trak bantuan kemanusiaan dapat melepasinya,” kata orang kanan Maduro, Diosdado Cabello.

Maduro mendakwa, bantuan itu adalah tabir pencerobohan AS dan mengarahkan beberapa lintasan di sempadan Venezuela-Colombia dan Brazil, ditutup. -AFP

Sebuah bas terbakar ketika bantahan di bandar sempadan Urena, Tachira selepas kerajaan Maduro mengarahkan penutupan sementara sempadan dengan Colombia, kelmarin. -Foto AFP
Sebuah bas terbakar ketika bantahan di bandar sempadan Urena, Tachira selepas kerajaan Maduro mengarahkan penutupan sementara sempadan dengan Colombia, kelmarin. -Foto AFP

Berita Harian X