Rabu, 20 Februari 2019 | 10:04am
LADY Gaga mengumumkan berpisah dengan tunangnya Christian Carino selepas tiga tahun menjalin hubungan cinta. - Foto AFP
LADY Gaga mengumumkan berpisah dengan tunangnya Christian Carino selepas tiga tahun menjalin hubungan cinta. - Foto AFP

Lady Gaga-Christian Carino putus tunang

LOS ANGELES: Bintang pop dan calon anugerah Oscar, Lady Gaga mengumumkan berpisah dengan tunangnya Christian Carino selepas tiga tahun menjalin hubungan cinta.

Jurucakap selebriti berusia 32 tahun itu mengesahkan laporan media semalam bahawa penyanyi lagu ‘Shallow’ dan Carino, yang juga ejen beliau memutuskan pertunangan mereka tanpa menyatakan puncanya.

“Ia tidak dapat diselamatkan lagi. Hubungan kadangkala berakhir. Namun tiada sebarang kisah dramatik di sebaliknya,” kata sumber yang enggan dikenali kepada majalah People.

Berita perpisahan itu mula tersebar beberapa hari menjelang anugerah Oscar Ahad ini di mana Gaga dicalonkan sebagai aktres terbaik untuk wataknya dalam filem ‘A Star is Born’.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Poker Face’ dan ‘Bad Romance’ itu juga bakal mempersembahkan lagu ‘Shallow’ dari filem ‘A Star is Born’ di pentas Oscar, lagu yang diramal bakal mengungguli kategori lagu asal terbaik.

Pasangan yang mula intim sejak Februari 2017 itu mengumumkan pertunangannya dengan Carino Oktober lalu beberapa bulan selepas berpisah dengan pelakon ‘Chicago Fire’, Taylor Kinney.

Gaga dan Carino kelihatan mesra ketika menghadiri anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild di Los Angeles Januari lalu, namun peminat menyedari penyanyi itu tidak memakai cincin pertunangannya ketika menyanyi di pentas anugerah Grammy 10 Februari lalu. - Reuters

Berita Harian X