Jumaat, 15 Februari 2019 | 11:42am
GAMBAR fail, pelakon George Clooney. - Foto REUTERS
GAMBAR fail, pelakon George Clooney. - Foto REUTERS

Hollywood tuduh penganjur Oscar hina kerjaya profesional

LOS ANGELES: Pelakon George Clooney, Brad Pitt dan Robert de Niro, semalam menyertai bantahan yang semakin meningkat di Hollywood berhubung rancangan penganjur Oscar untuk menyampaikan beberapa anugerah lain termasuk sinematografi dan suntingan ketika waktu rehat pada acara Anugerah Academy minggu depan.

Aktres Sandra Bullock, Emma Stone dan J0n Hamm, sudah memasukkan nama ke dalam surat terbuka yang ditandatangani pengarah Martin Scorsese, Spike Lee dan Alfonso Cuaron menuntut keputusan itu ditarik balik.

Penganjur, Academy of Motion Picture Arts and Sciences, terdahulu mengumumkan awal minggu ini bahawa Oscar terbaik untuk sinematografi, suntingan filem, filem pendek dan solekan dan gaya rambut akan diberikan ketika iklan pada siaran langsung 24 Februari ini.

Academy berkata, versi suntingan ucapan pemenang akan dimasukkan kemudian dalam siaran langsung.

Rancangan itu adalah sebahagian usaha menjadikan siaran langsung Oscar pendek dan menaikkan kadar tontonan.

Keseluruhan 24 Oscar akan diserahkan kepada pemenang pada acara itu.

Penganjur berjanji mengurangkan siaran kira-kira 40 minit kepada cuma tiga jam tahun ini.

Namun surat terbuka, ditandatangani lebih 50 pengarah, pelakon dan penerbit, menuduh akademi ‘merendahkan kerjaya penting’ dan menghina profesional yang bekerja dalam empat bidang itu.

Academy, kelmarin mempertahankan perubahan itu, menyalahkan laporan tidak tepat dan siaran di media sosial yang dikatakan ‘mengecewakan ramai anggota Academy’. — Reuters

Berita Harian X