Jumaat, 8 Februari 2019 | 7:23am
Penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi bantahan terhadap Presiden Nicolas Maduro di Montevideo, Uruguay. Foto AFP
Penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi bantahan terhadap Presiden Nicolas Maduro di Montevideo, Uruguay. Foto AFP

Washington batal visa penyokong Nicolas Maduro

WASHINGTON: Amerika Syarikat membatalkan visa yang dikeluarkan kepada penggubal undang-undang yang menyokong Presiden Nicolas Maduro, selain mengkritik beberapa negara Eropah dan Amerika Latin yang berusaha mengadakan dialog dengan pemimpin yang bertelagah.

Sebaliknya, Amerika Syarikat mengiktiraf Juan Guaido, iaitu ketua pembangkang yang mengetuai Perhimpunan Kebangsaan, sebagai presiden sementara negara itu.

Wakil Amerika Syarikat ke Venezuela, Elliot Abrams, berkata Washington membatalkan visa yang dikeluarkan kepada sejumlah anggota Perhimpunan Perlembagaan.

“Badan ini sudah merampas banyak kuasa Perlembagaan yang dimiliki oleh Perhimpunan Kebangsaan secara sah dan memusnahkan institusi demokrasi,” kata Abrams kepada wartawan.

Pada masa sama, beliau turut mengutuk pertemuan sekumpulan pemimpin dari Eropah dan Amerika Latin di Montevideo, Uruguay yang bertujuan mencari jalan penyelesaian isu di Venezuela.

Perbincangan itu membabitkan ketua dasar luar negara Kesatuan Eropah, Federica Mogherini dan dianjurkan oleh Mexico serta Uruguay, iaitu dua negara di Amerika Latin yang tidak mengiktiraf Guaido, selain sekutu Maduro, negara Cuba. - AFP

Berita Harian X