Sabtu, 2 Februari 2019 | 8:21am
Petugas di sebuah hospital menunggu di kawasan selamat selepas gempa bumi melanda Mexico City, semalam. - Foto AFP
Petugas di sebuah hospital menunggu di kawasan selamat selepas gempa bumi melanda Mexico City, semalam. - Foto AFP

3 cedera, infrastruktur rosak dalam gempa di Mexico

GUATEMALA CITY: Sekurang-kurangnya tiga penduduk tercedera manakala sejumlah infrastruktur rosak dalam satu kejadian gempa bumi berkekuatan 6.5 magnitud di Mexico dan Guatemala semalam.

Menurut Perkhidmatan Seismologi Kebangsaan, gegaran berlaku berhampiran sempadan Mexico-Guatemala, 37 kilometer ke barat daya Ciudad Hidalgo di negeri Chiapas, Mexico pada kedalaman 62 kilometer.

Gegaran itu dirasai sehingga ke El Salvador dan Mexico City dan paling kuat di sekitar Chiapas.

Namun tiada kemusnahan teruk mahupun kehilangan nyawa dan kecederaan serius dilaporkan.

Memori dua gempa bumi kuat pada September 2017 masih segar dalam ingatan penduduk Mexico apabila seramai 465 orang terkorban dan berpuluh ribu bangunan dan infrastruktur musnah. - AFP

Berita Harian X