Khamis, 31 Januari 2019 | 4:25pm
Pelajar Universiti Pusat Venezuela (UCV) di Caracas, memegang kain rentang bertulis, ‘Maduro usurper’ (Maduro perampas) ketika bantahan menentang kerajaan pimpinannya digesa pembangkang, semalam. -Foto AFP
Pelajar Universiti Pusat Venezuela (UCV) di Caracas, memegang kain rentang bertulis, ‘Maduro usurper’ (Maduro perampas) ketika bantahan menentang kerajaan pimpinannya digesa pembangkang, semalam. -Foto AFP

Tentera digesa 'singkir' Maduro: Juan Guaido

WASHINGTON: Sokongan daripada tentera Venezuela amat penting dalam usaha menyingkirkan Presiden Nicolas Maduro, pemimpin pembangkang Juan Guaido menulis dalam akhbar The New York Times (NYT) semalam.

Guaido berkata, pertemuan sulit sudah diadakan dengan anggota pasukan keselamatan dan majoriti berpakaian seragam bersetuju status quo tidak boleh diteruskan.

“Penarikan sokongan tentera daripada Maduro amat penting bagi membolehkan perubahan dalam kerajaan dan majoriti yang berkhidmat bersetuju keperitan terbaharu negara tidak dapat dipertahankan.

“Peralihan akan memerlukan sokongan daripada kontinjen utama tentera. Kita mengadakan mesyuarat sulit dengan anggota pasukan bersenjata dan pasukan keselamatan,” tulis Guaido.

Penunjuk perasaan pembangkang mengibarkan bendera Venezuela ketika bantahan menentang kerajaan pimpinan Maduro di luar Hospital Kanak-kanak Caracas, semalam. -Foto AFP
Penunjuk perasaan pembangkang mengibarkan bendera Venezuela ketika bantahan menentang kerajaan pimpinan Maduro di luar Hospital Kanak-kanak Caracas, semalam. -Foto AFP

Jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders menulis tweet ruangan pendapat Guaido bersama mesej: “Amerika Syarikat (AS) menyokong rakyat Venezuela.”

Guaido mengisytiharkan dirinya presiden sementara minggu lalu, berhujah pemilihan semula Maduro tidak sah dan beliau sebagai Presiden Perhimpunan Kebangsaan, diberi mandat mengikut perlembagaan untuk mengambil alih.

Beliau segera mendapat sokongan AS dan beberapa negara Amerika Latin manakala enam negara besar Eropah menggesa Maduro mengadakan pilihan raya baharu menjelang hujung minggu atau mereka juga mengiktiraf pembangkangnya.

Venezuela, yang memiliki rizab minyak terbesar dunia, mengalami pelakuran ekonomi di bawah kepimpinan Maduro, berpunca daripada hiperinflasi dan kekurangan bahan asas seperti makanan dan ubatan.

Jutaan penduduk dibiarkan berada dalam kemiskinan sementara 2.3 juta lari dari negara itu, mendedahkan satu krisis pendatang di Amerika Selatan. -AFP

Berita Harian X