Isnin, 28 Januari 2019 | 8:08am
JUAN Guaido. - EPA
JUAN Guaido. - EPA

Australia iktiraf pemimpin pembangkang Venezuela sebagai presiden

SYDNEY: Australia ‘mengiktiraf dan menyokong’ pemimpin Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Juan Guaido sebagai pemimpin sementara negara itu, kata Menteri Luar Marise Payne hari ini mengikut jejak Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

“Australia mengiktiraf dan menyokong Presiden Perhimpunan Kebangsaan, Juan Guaido untuk memangku jawatan sebagai presiden sementara sehingga pilihan raya diadakan,” kata Payne dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggesa agar satu peralihan ke arah demokrasi di Venezuela dilaksanakan secepat mungkin. Ia berikutan protes besar-besaran di Venezuela terhadap Presiden Nicolas Maduro akibat keadaan ekonomi dan krisis politik yang semakin meruncing.

Keputusan Canberra dibuat berpandukan deklarasi oleh Sepanyol, Britain, Perancis, Belanda dan Jerman Sabtu lalu mengatakan mereka akan mengiktiraf Guaido sebagai presiden sementara kecuali Maduro mengadakan pilihan raya dalam masa lapan hari.

Maduro menolak kata dua Eropah itu Ahad lalu.

Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden negara Amerika Selatan itu Rabu lalu, pada satu perhimpunan pembangkang besar-besaran, dan menyeru tentera untuk menentang kerajaan berhaluan kiri Maduro.

Tentera setakat ini menyokong rejim yang berkuasa lebih dua dekad lalu sejak dipimpin mendiang Hugo Chavez. - AFP

Berita Harian X