Jumaat, 25 Januari 2019 | 7:51am
Bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Caracas, Venezuela. - Foto EPA
Bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Caracas, Venezuela. - Foto EPA

Staf kedutaan AS diarah tinggalkan Venezuela

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengarahkan kakitangan kedutaan yang tidak penting meninggalkan Venezuela tetapi tidak mematuhi arahan pengusiran yang dikeluarkan Presiden Nicolas Maduro, yang tidak lagi dianggap pemimpin negara itu oleh Washington.

Jabatan Negara, dalam notisnya berkata ia ‘mengarahkan kakitangan kerajaan tidak penting AS meninggalkan Venezuela’.

“Kerajaan mempunyai kemampuan terhad untuk memberikan perkhidmatan kecemasan kepada rakyat AS di Venezuela,” menurut notis.

Susulan krisis politik meruncing di negara itu, Jabatan Negara berkata rakyat AS sepatutnya meninggalkan Venezuela.

Maduro, kelmarin memberikan masa 72 jam kepada diplomat AS untuk meninggalkan negara itu selepas Presiden Donald Trump, yang disokong banyak negara Amerika Latin, berkata pemimpin berhaluan kiri itu bukan lagi presiden sah Venezuela.

AS berkata, ia tidak mengendahkan arahan itu kerana tidak percaya Maduro masih lagi presiden sebaliknya mengiktiraf pemimpin sementara, Juan Guaido, sebagai ketua Perhimpunan Kebangsaan. — AFP

Berita Harian X