Selasa, 8 Januari 2019 | 7:19am
Gambar oleh Museo Paleontologico "Fray Manuel de Torres" pada 7 Januari 2019 menunjukkan tulang fosil spesimen rusa prasejarah yang dijumpai baru-baru ini di tapak palaeontologi Campo Sposito di San Pedro, di Buenos Aires, utara wilayah Argentina. - Foto AFP

Fosil hampir sempurna rusa prasejarah ditemui di Argentina

BUENOS AIRES : Satu fosil rusa prasejarah yang masih elok ditemui di utara Buenos Aires, kata pengurusan Universiti La Matanza dalam satu pendedahan semalam.

Fosil itu yang masih belum diketahui usia terdiri daripada 70 peratus bahagian haiwan berkenaan mencakupi tulang belakang, kaki dan gigi.

Penemuan itu dibuat di tapak yang sama 24 fosil mamalia dan reptilia ditemui sejak 17 tahun lalu.

“Adalah sangat menakjubkan apabila melihat kedudukan tulang belakang dan tengkuk haiwan itu kekal,” kata Pengarah Muzium Paleontologi San Pedro, Jose Luis Aguilar.

Selain set hampir lengkap gigi dan tulang belakang, rangka haiwan itu turut disertai lebih 20 tulang rusuk, tulang pelvik, kaki belakang dan sebahagian tulang paha.

Spesies rusa Morenelaphus yang sebelum ini hanya ditemui dalam bahagian kecil boleh mencecah berat sehingga 200 kilogram.

“Haiwan kecil ini memberikan kita maklumat mengenai kehidupan prasejarah ketika keadaan persekitaran masih amat berbeza dengan sekarang,” kata Aguilar yang membuat penemuan itu.

Ujian akan dilakukan bagi menentukan usia haiwan terbabit tetapi Morenelaphus wujud pada zaman Pleistocene bermula 2.5 juta tahun hingga 12,000 tahun lalu. - AFP


Gambar handout yang diambil pada 2018 dan dikeluarkan oleh Museo Paleontologico "Fray Manuel de Torres" pada 7 Januari 2019 menunjukkan pekerja melakukan pemulihan fosil spesimen rusa prasejarah yang dijumpai baru-baru ini di tapak paleontologi Campo Sposito di San Pedro, di Buenos Aires, utara wilayah Argentina. - Foto AFP

Berita Harian X