Rabu, 26 Disember 2018 | 9:40am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Pelarian kanak-kanak kedua mati dalam tahanan AS

WASHINGTON: Seorang kanak-kanak pelarian Guatemala berusia lapan tahun mati dalam tahanan semalam selepas ditahan pegawai sempadan Amerika Syarikat (AS), kata Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP), menjadikannya kanak-kanak kedua maut dalam tahanan.

Difahamkan kanak-kanak itu dan bapanya ditahan CBP Isnin lalu dan keadaan kesihatannya disedari oleh Pengawal Sempadan, kata CBP dalam satu kenyataan.

Kedua-dua tahanan itu kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Gerald Champion Regional di Alamogordo, New Mexico.

Pusat Perubatan Serantau Gerald Champion di Alamogordo, New Mexico, di mana budak lelaki pendatang berusia lapan tahun dari Guatemala maut sejurus sebelum tengah malam Isnin lalu, kematian kedua di pusat tahanan AS tahun ini. -Foto AFP
Pusat Perubatan Serantau Gerald Champion di Alamogordo, New Mexico, di mana budak lelaki pendatang berusia lapan tahun dari Guatemala maut sejurus sebelum tengah malam Isnin lalu, kematian kedua di pusat tahanan AS tahun ini. -Foto AFP

Mangsa disahkan mengalami demam dan selsema biasa dan dibenarkan pulang sebaik menerima rawatan.

CBP berkata pada lewat malam budak lelaki itu muntah-muntah dan dihantar semula ke hospital. Dia mati tidak lama selepas itu dan punca kematian masih belum dapat disahkan.

Menurut Kementerian Luar Guatemala, mangsa dan bapanya masuk ke AS menerusi El Paso, Texas pada 18 Disember lalu dan dipindahkan ke stesen pengawal sempadan di Alamogordo pada 23 Disember.

Awal Disember lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, Jakelin Caal, juga warga Guatemala meninggal dunia ketika ditahan bersama bapanya oleh pegawai sempadan AS di pedalaman New Mexico. - Reuters

Berita Harian X