Isnin, 19 November 2018 | 7:46am
Pencemaran udara yang dipenuhi partikel halus boleh menyebabkan masalah kesihatan, daripada ketidakselesaan sementara sehinggalah kesan jangka panjang penyakit jantung dan paru-paru. - Foto Agensi
Pencemaran udara yang dipenuhi partikel halus boleh menyebabkan masalah kesihatan, daripada ketidakselesaan sementara sehinggalah kesan jangka panjang penyakit jantung dan paru-paru. - Foto Agensi

Kebakaran hutan California cetus ancaman kesihatan

PARADISE: Kebakaran hutan dahsyat di California menyebabkan sesetengah komuniti diselubungi kabus hitam, sekali gus menyebabkan kesan pencemaran udara teruk.

Pencemaran udara seperti itu dipenuhi partikel halus yang boleh menyebabkan masalah kesihatan, daripada ketidakselesaan sementara sehinggalah kesan jangka panjang penyakit jantung dan paru-paru.

Kanak-kanak, dewasa dan individu dengan penyakit jantung atau paru-paru kemungkinan paling teruk terjejas akibat pencemaran itu.

Golongan itu dinasihatkan mengambil berat penjagaan tambahan jika memiliki isu kesihatan lampau seperti asma masa kecil kerana kemunculan semula tidak mustahil dalam sesetengah kes.

“Ada banyak partikel halus yang dibawa udara akibat kebakaran. Itu yang menyebabkan pencemaran dan banyak gejala yang mula dialami penduduk seperti tekak perit, mata pedih, hidung tersumbat dan iritasi,” kata Pengerusi Jabatan Perubatan Pekerjaan, Epidemiologi dan Pencegahan di Universiti Hofstra, New York, Dr Jacqueline M Moline.

Saintis dan doktor masih cuba mengkaji kesan kesihatan jangka panjang akibat kebakaran hutan di California di sini, namun badan penyelidikan menunjukkan menyedut partikel kecil daripada kebakaran hutan boleh bersarang dalam lipatan tisu paru-paru dan menjejaskan sistem imun, kemungkinan menyediakannya untuk tindak balas berlebihan terhadap bahan iritasi di masa akan datang.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump (tengah) meninjau rumah yang musnah akibat kebakaran Woolsey di Malibu, California. - Foto Reuters
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump (tengah) meninjau rumah yang musnah akibat kebakaran Woolsey di Malibu, California. - Foto Reuters

Pencemaran udara juga boleh memburukkan masalah jantung dan malah mempercepatkan serangan organ itu, kata Dr Le Horovitz, seorang pakar organ dalaman dan pulmonologi di Hospital Lenox Hill di Manhattan.

“Jantung dan paru-paru saling berjalin, justeru sebarang masalah dengan paru-paru akan turut menjejaskan jantung,” katanya menambah partikel yang disedut ke dalam paru-paru boleh memasuki aliran darah dan menyebabkan keradangan meluas.

Dr Moline berkata, jika penduduk menggunakan pendingin hawa, pastikan ia beredar berbanding menarik udara tercemar dari luar.

Malah jika boleh, penduduk dinasihatkan membeli penulen udara, yang membantu membersihkan partikel pencemaran dalam rumah.

Pengarah eksekutif Institut Dasar Kesihatan Lembah Tengah, Prof John Capitman yang juga pensyarah kesihatan awam di Universiti California, Fresno berkata, banyak penulen udara di pasaran hanya berupaya membersihkan udara dalam satu bilik, justeru lebih baik menempatkannya dalam bilik seseorang yang berisiko besar seperti kanak-kanak, warga emas atau individu penghidap asma. - NYT

Berita Harian X