Sabtu, 10 November 2018 | 12:34pm
MICHELLE Obama tidak akan memaafkan Trump selepas menimbulkan konspirasi mempersoalkan asal usul suaminya. - Foto Reuters

Michelle Obama enggan maafkan Trump

WASHINGTON: Bekas wanita pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama tidak akan memaafkan Presiden Donald Trump selepas menimbulkan konspirasi mempersoalkan asal usul suaminya, lapor Washington Post semalam.

Memoir itu menceritakan bahawa dakwaan palsu gerakan ‘birther’ Trump mengenai kehidupan awal Barack Obama sebagai orang asing, disifatkan sebagai ‘gila dan berniat jahat’ serta meletakkan keluarga Obama dalam bahaya.

“Apa akan berlaku jika ada individu kurang siuman datang ke Washington membawa senjata api? Apa akan jadi jika individu itu mensasarkan anak-anak perempuan kami?” tulis Michelle Obama.

“Tuduhan keras dan melulu Donald Trump itu menyebabkan keluarga saya terdedah kepada risiko keselamatan. Kerana itu saya tidak akan akan memaafkannya.”

Ketika ditanya mengenai memoir itu, Trump mengakui belum membacanya.

“Saya rasa beliau ada menulis sebuah buku dan dibayar sejumlah wang yang banyak. Penerbit biasanya mahukan bahan-bahan yang kontroversi,” katanya kepada pemberita di Rumah Putih sebelum berangkat ke Paris.

Terdahulu ketika ditemubual ABC News menjelang pelancaran bukunya Selasa lalu berjudul “Becoming”, Michelle turut mendedahkan keguguran yang dialami 20 tahun lalu hingga perlu menjalani rawatan In Vitro Fertilization (IVF) untuk mendapatkan dua anaknya, Malia, 20 dan Sasha, 17.

Pelancaran memoir itu memenuhi sebahagian daripada perjanjian yang dimeterai bekas presiden AS dan isterinya itu dengan penerbit Penguin Random House untuk menulis sebuah buku setiap seorang sebaik meninggalkan Rumah Putih.

Pasangan itu dikatakan menerima bayaran mencecah lebih AS$60 juta (RM251 juta). - Reuters

Berita Harian X