Khamis, 8 November 2018 | 9:43am
KERAJAAN Chile menghantar pendatang Haiti pulang ke negara asal mereka semalam dalam siri penerbangan kemanusiaan. - Foto Reuters

Chile hantar pulang 176 pendatang

SANTIAGO: Kerajaan Chile menghantar pendatang Haiti pulang ke negara asal mereka semalam dalam siri penerbangan kemanusiaan yang dikritik golongan berkenaan sebagai ‘penghantaran secara paksa’.

Seramai 176 pendatang Haiti berhimpun di pusat sukan di sini untuk menaiki bas ke lapangan terbang sebelum berlepas pulang ke ibu negara Port-au-Prince menggunakan pesawat milik tentera udara Chile.

Kementerian Dalam Negeri Chile menerusi satu kenyataan berkata, sejumlah 1,087 pendatang menandatangani persetujuan untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.

Kira-kira 150,000 pendatang Haiti berhijrah ke Chile sejak dua tahun lalu dan inisiatif penerbangan kemanusiaan itu adalah antara langkah diambil oleh kerajaan pimpinan Presiden Sebastian Pinera untuk mengurangkan lambakan golongan itu.

Pendatang yang bersetuju dihantar pulang perlu menandatangani perjanjian tidak akan kembali lagi ke Chile selama sembilan tahun dan membawa bersama ahli keluarga terdekat.

Menurut kerajaan, dasar berkenaan disasarkan kepada pendatang yang masih bertungkus lumus mencari pekerjaan di negara Amerika Latin paling kaya itu dan dalam sesetengah kes, termakan janji palsu penyeludup manusia.

Dasar itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi di kalangan pendatang, kumpulan hak asasi manusia dan pakar akademik.

Haiti masih antara negara termiskin dunia dan ia diburukkan dengan siri bencana alam, kemelut politik serta tahap keselamatan yang lemah. - Reuters

Berita Harian X