Khamis, 18 Oktober 2018 | 11:30pm
MIKE Pompeo. - Foto AFP
MIKE Pompeo. - Foto AFP

AS gabung Konsulat Jeneral Palestin dengan Kedutaan baharu

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan menggabungkan Konsulat Jeneral AS yang memberikan perkhidmatan kepada penduduk Palestin dengan kedutaan baharunya menjadi misi diplomatik tunggal di Baitulmaqdis, kata Setiausaha Negara, Mike Pompeo, hari ini.

“Keputusan ini seiring dengan usaha global kami untuk melancarkan serta meningkatkan keberkesanan operasi. Ia bukan bermaksud perubahan dasar AS terhadap Baitulmaqdis, Tebing Barat atau Semenanjung Gaza,” katanya.

Konsulat Jeneral di Baitulmaqdis adalah misi utama untuk penduduk Palestin yang mahukan wilayah Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka.

“Kami akan terus menyediakan laporan, perhubungan dan program di Tebing Barat dan Gaza serta penduduk Palestin di Baitulmaqdis menerusi sebuah Unit Hal Ehwal Warga Palestin dalam Kedutaan AS di Baitulmaqdis,” kata Pompeo.

Sebelum ini, pentadbiran Presiden Donald Trump menimbulkan kemarahan dunia Arab dan kebimbangan antarabangsa dengan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, Disember lalu dan memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, Mei lalu. - Reuters

Berita Harian X