Rabu, 17 Oktober 2018 | 10:57pm
MELANIA Trump. - Foto fail AFP
MELANIA Trump. - Foto fail AFP

Pesawat bawa Melania Trump patah balik

WASHINGTON: Sebuah pesawat yang membawa wanita pertama Amerika Syarikat (AS), Melania Trump terpaksa berpatah balik hari ini selepas mengesan asap di dalam kabin, kata seorang wartawan di dalam penerbangan sama.

Menurut jurucakapnya, Stephanie Grisham, berlaku masalah mekanikal kecil ketika beliau dalam perjalanan dari Washington ke Philadelphia.

“Semua dalam keadaan baik dan selamat,” kata Grisham dalam satu kenyataan.

Pesawat terbabit berpatah balik ke Joint Base Andrews, sebuah kelengkapan tentera udara yang digunakan Rumah Putih di luar Washington, DC.

CNN dan rangkaian AS lain berkata wartawan yang berada di dalam pesawat berkenaan ternampak asap di dalam kabin dan diarahkan untuk menekap tuala basah ke muka sekiranya keadaan semakin buruk.

Asap itu hilang dan pesawat berpatah balik tanpa sebarang insiden.

Trump sedang dalam perjalanan ke hospital Philadelphia yang mengkhusus dalam merawat ibu-ibu yang mengalami gangguan penggunaan opioid dan bayi yang dilahirkan dengan ketagihan terhadap dadah sejak di dalam rahim. - AFP

Berita Harian X