Selasa, 2 Oktober 2018 | 1:11pm
Wanita Pertama AS Melania Trump berjalan ke pesawat sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Andrews di Maryland ke Afrika. - Foto AFP
Wanita Pertama AS Melania Trump berjalan ke pesawat sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Andrews di Maryland ke Afrika. - Foto AFP

Melania buat lawatan solo ke Afrika

WASHINGTON: Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Melania Trump meninggalkan ibu kota ini semalam untuk lawatan empat hari ke benua Afrika, sekali gus memberinya peluang mencipta laluan diplomatik tersendiri.

Lawatan ke Ghana, Malawi, Kenya dan Mesir, yang menyaksikan beliau kembali semula ke sini pada 7 Oktober, adalah kunjungan antarabangsa solo terbesar pertamanya.

Beliau menaiki pesawat lewat semalam dari pangkalan Tentera Udara Andrews, memakai kot panjang, cermin mata besar dan kasut tumit tinggi bercorak harimau bintang.

Tidak seperti penyandang popularnya, Michelle Obama, bekas model fesyen, Melania amat tidak menonjol berbanding suaminya, Presiden Donald Trump.

Jurucakapnya, Stephanie Grisham berkata, jelajah Afrika wanita pertama itu adalah ‘lawatan diplomatik dan kemanusiaan’, memfokuskan kempen #BeBest untuk kanak-kanak serta keadaan kesihatan mereka.

Bagaimanapun maklumat mengenai kunjungan beliau amat sedikit. Trump yang memaklumkan media minggu lalu, isterinya ‘membuat lawatan besar ke Afrika.’

“Kami sukakan Afrika. Afrika amat cantik, bahagian paling cantik di dunia, dalam segala segi,” kata Trump yang satu ketika dulu dilaporkan mengeji benua itu sebagai ‘negara dipenuhi lubang najis.’

“Ketika kerajaan pimpinan suaminya menggesa pengurangan radikal bantuan AS di seluruh dunia, Melania akan ‘mempamerkan’ hasil kerja Agensi Pembangunan Antarabangsa AS atau USAID. Lawatan ini adalah inisiatif beliau sendiri,” kata Grisham.

Melania, 48, mengadakan acara #BeBest ketika perhimpunan tahunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu. Bagaimanapun, wanita pertama itu lebih terkenal kerana ketiadaannya ketika saat getir kepimpinan Trump yang menguasai media sosial, televisyen dan muka hadapan.

“Kami tidak melihat tanda beliau bersedia menjadi aset politik. Keupayaan dan peluang sudah ada. Sama ada beliau memilih menggunakannya, ia persoalan lain,” kata bekas ketua turus kakitangan Laura Bush, isteri Presiden George W Bush, Anita McBride. -AFP

Berita Harian X