Khamis, 13 September 2018 | 1:11pm
MICHELLE Obama. - Foto Reuters

Michelle Obama adakan lawatan promosi 'Becoming'

WASHINGTON: Bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama, mengumumkan lawatan ke 10 bandar raya semalam sebagai sokongan kepada biografinya, ‘Becoming’, yang memaparkan apa disifatkan penganjur ‘perbualan intim dan jujur’ dengan pembaca.

Michelle akan memulakan siri itu di negeri kelahirannya, Chicago, pada 13 November ini, pada hari ‘Becoming’ dijual di AS dan dalam 28 bahasa di seluruh negara.

Syarikat promosi, Live Nation, berkata lawatan juga akan membawa Michelle ke Los Angeles, Boston, Dallas, New York dan bandar raya serta stadium lain dengan 23,000 tempat duduk yang juga digunakan untuk konsert oleh beberapa pemuzik terkenal.

“Saya menghabiskan setahun setengah menggambarkan kisah saya dengan mendalam dan jujur, dan kini teruja untuk melawat seluruh negara dan melakukan perkara sama dengan pembaca pada musim luruh ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam mesej dan video di laman Facebook beliau, Michelle menggambarkan buku berkenaan sebagai ‘kisah kesederhanaan, kejayaan kecil, parut kekal, harapan dan kebimbangannya’.

Michelle dan Live Nation akan menyumbang 10 peratus daripada setiap tiket yang terjual kepada badan kebajikan, sekolah dan kumpulan komuniti di setiap bandar raya yang dilawati.

Tiket mula dijual hari ini.

Michelle dan suaminya, bekas Presiden Barack Obama, menandatangani perjanjian menerbitkan buku dengan Penguin Random House sebulan selepas Obama meninggalkan Rumah Putih pada Januari 2017.

Akhbar The Financial Times melaporkan pada ketika itu bahawa perjanjian bersama itu bernilai AS$65 juta (RM269 juta), angka yang tidak disahkan penerbit.

Sementara tarikh penerbitan buku Obama belum diumumkan. — Reuters

Berita Harian X