Rabu, 5 September 2018 | 11:24am
WARTAWAN veteran, Bob Woodward. - Foto AFP

Rumah Putih gusar naskhah baru Woodward

WASHINGTON: Wartawan veteran, Bob Woodward kembali menggusarkan Rumah Putih menerusi penghasilan sebuah buku baru yang mendedahkan mengenai kegilaan dan paranoia Donald Trump.

Buku yang dinanti ramai berjudul, “Fear: Trump in the White House,” itu antara lain menceritakan bagaimana pembantunya secara rutin cuba mengabaikan atau bertindak untuk menghalang arahan dari presiden Amerika Syarikat (AS) itu.

The Washington Post yang menerima salinan awal naskhah itu berkata Woodward menggambarkan bagaimana Trump menekan kakitangannya untuk bertindak sehingga berpotensi mencetus konflik besar.

Dalam satu anekdot, pada 19 Januari lalu, Trump mempersoalkan tindakan Majlis Keselamatan Negara AS mengekalkan kehadiran tentera yang tinggi kosnya di semenanjung Korea.

“Kami melakukan ini untuk menghalang Perang Dunia III,” kata Setiausaha Pertahanan Jim Mattis.

Menurut Woodward, selepas mesyuarat itu, Mattis berkata kepada rakan sekerjanya bahawa pemahaman Trump tidak ubah seperti kanak-kanak berusia 10 atau 11 tahun.

Mattis juga pernah menerima arahan daripada Trump untuk menghapuskan presiden Syria, Bashar al-Assad yang didakwa membunuh orang awam menggunakan senjata kimia.

Selain Mattis, bekas Penasihat Ekonomi Trump, Gary Cohn pernah mencuri satu arahan dari meja Trump sebelum ia sempat ditandatangani.

Menurut Cohn, jika arahan itu ditandatangani berkemungkinan perjanjian perdagangan AS-Korea Selatan tidak akan dimeterai.

Difahamkan penerbitan buku itu cukup membimbangkan Rumah Putih sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Woodward, yang bergandingan dengan Carl Bernstein untuk mendedahkan skandal Watergate sehingga menjatuhkan presiden Richard Nixon, pernah menerbitkan buku yang mendedahkan mengenai presiden George W. Bush dan Barack Obama.

Buku itu dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada 11 September. - AFP

Berita Harian X