X
Sabtu, 25 Ogos 2018 | 11:44am
JOHN McCain, menghentikan rawatan barah otak yang dihidapi, kata keluarganya semalam, setahun selepas senator Republican itu memberitahu secara terbuka mengenai penyakitnya. - Foto fail EPA
JOHN McCain, menghentikan rawatan barah otak yang dihidapi, kata keluarganya semalam, setahun selepas senator Republican itu memberitahu secara terbuka mengenai penyakitnya. - Foto fail EPA

John McCain henti rawatan kanser

WASHINGTON: Tokoh politik veteran Amerika Syarikat, John McCain, menghentikan rawatan barah otak yang dihidapi, kata keluarganya semalam, setahun selepas senator Republican itu memberitahu secara terbuka mengenai penyakitnya.

Pengumuman itu memberi petunjuk berakhirnya pergelutan sengit McCain, 81, dengan penyakit barah paling agresif.

“Keputusan diambil berdasarkan perkembangan penyakit itu dan usianya.

“Dengan kekuatan semangat, beliau memilih untuk tidak meneruskan rawatan perubatan,” kata anggota keluarga McCain.

Bekas juruterbang pesawat tempur Tentera Laut itu pernah menjadi tahanan perang di Vietnam selepas jetnya ditembak jatuh ketika dalam misi pengeboman di Hanoi.

Beliau kalah pada pilihan raya presiden 2008 kepada bekas Presiden Barack Obama, dan dikecam kerana memilih ahli politik kontroversi Alaska, Sarah Palin, sebagai calon naib presiden.

“Tiada siapa pun dalam abad ini menunjukkan contoh kejujuran, patriotik, khidmat, pengorbanan dan mendahulukan negara lebih baik daripada McCain.

“Semangatnya memberi inspirasi, kehidupannya membentuk karektor kita. Saya terharu dengan persahabatan kami,” kata seorang lagi tokoh politik Republican, Mitt Romney.

McCain juga menjadi pengkritik lantang kepada Presiden Donald Trump, menyifatkan beliau sebagai naif, ego dan bersimpati dengan golongan autokrat. — AFP

Berita Harian X