Isnin, 18 Jun 2018 | 7:22am
LIMA pendatang asing maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas apabila cuba melarikan diri ketika dikejar ejen Pengawal Sempadan Amerika Syarikat di Texas. - Foto AP
LIMA pendatang asing maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas apabila cuba melarikan diri ketika dikejar ejen Pengawal Sempadan Amerika Syarikat di Texas. - Foto AP

Lima pendatang asing dikejar Pengawal Sempadan maut kemalangan

TEXAS: Lima pendatang asing maut manakala beberapa lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas apabila cuba melarikan diri ketika dikejar ejen Pengawal Sempadan Amerika Syarikat di sini, kira-kira 145 kilometer di utara sempadan Mexico semalam.

Sherif Daerah Dimmit, Marion Boyd memberitahu rangkaian televisyen KFDM News 4, mangsa tercedera dibawa keluar dari kenderaan jenis Chevy Suburban yang sarat dengan 14 penumpang dan dipandu pada kelajuan 160 kmh itu.

"Kenderaan itu terbabas sebelum melanggar batu kerikil dan terbalik ketika pemandunya cuba membetulkan semula haluan.

"Kami melihat kejadian seperti ini berulang kali berlaku, bukan hanya di negara ini tetapi juga negara lain di sepanjang sempadan. Ini adalah contoh terbaik mengapa sempadan kita perlu pengawasan rapi," katanya.

Boyd berkata, ada di antara mangsa terpaksa diterbangkan ke San Antonio dengan menggunakan helikopter bagi mendapatkan rawatan lanjut.

KFDM melaporkan, ejen Pengawal Sempadan cuba menghentikan kenderaan terbabit namun gagal, menyebabkan mereka bertindak mengejarnya.

Visual yang disiarkan di televisyen memaparkan bagaimana kenderaan itu remuk teruk dan kehilangan sekurang-kurangnya dua tayar dengan serpihan bertaburan di sekitar kawasan. - Reuters

Berita Harian X