Jumaat, 8 Jun 2018 | 8:06am

PBB laksanakan sekatan 6 individu

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam mengenakan sekatan ke atas enam ketua rangkaian penyeludupan manusia yang beroperasi di Libya, tindakan pertama bagi badan dunia itu, kata diplomat.

Proses itu diteruskan apabila Russia menarik balik penahanan yang dibuat ke atas cadangan Belanda untuk memasukkan enam orang ke dalam senarai hitam sekatan, kata diplomat, menambah tindakan itu berkuat kuasa serta-merta.

"Musim panas lalu, imej pendatang dijual sebagai hamba di Libya mengejutkan hati nurani, dan Majlis Keselamatan berikrar akan mengambil tindakan.

"Sekatan hari ini memberi mesej kuat bahawa komuniti antarabangsa bersatu dalam memastikan penjenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia bertanggungjawab di atas tindakan mereka.

"Tiada tempat dalam dunia ini untuk pencabulan hak asasi dan harga diri manusia seperti itu," kata Duta Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haley.

Sekatan itu, iaitu larangan perjalanan global dan pembekuan aset, mensasarkan dua warga Eritrea yang digambarkan sebagai pengendali utama dalam rangkaian penyeludupan dan empat rakyat Libya termasuk ketua unit pengawal pantai.

Ketika Majlis Keselamatan mula memutuskan untuk mengenakan sekatan, Russia meminta maklumat tambahan 'untuk lebih memahami nilai cadangan, dan sejauh mana ia berkesan jika diluluskan, menurut surat yang diperoleh AFP.

Russia menggesa mesyuarat diadakan untuk meneliti bukti pembabitan enam individu itu dan mengaku rangkaian jenayah sudah berada di banyak negara Eropah dan Amerika Syarikat. - AFP

Berita Harian X