Selasa, 15 Mei 2018 | 8:23am
MELANIA menjalani pembedahan buah pinggang akibat ketumbuhan bukan barah 'benigna'. - Foto fail Reuters
MELANIA menjalani pembedahan buah pinggang akibat ketumbuhan bukan barah 'benigna'. - Foto fail Reuters

Melania buang ketumbuhan buah pinggang

WASHINGTON: Wanita pertama Amerika Syarikat (AS), Melania Trump menjalani pembedahan buah pinggang akibat ketumbuhan bukan barah 'benigna' dan akan dirawat di hospital selama seminggu.

Pengarah komunikasinya, Stephanie Grisham berkata, Melania, 48, yang berasal dari Slovenia, menjalani prosedur embolisasi.

"Prosedur berjalan lancar dan tiada sebarang komplikasi.

"Wanita Pertama tidak sabar untuk pulih sepenuhnya supaya beliau dapat meneruskan tugas seperti biasa," kata Grisham.

Beberapa jam selepas prosedur itu, Presiden Donald Trump segera mengunjungi Pusat Perubatan Tentera Kebangsaan Walter Reed untuk melawat isterinya.

Hospital itu sudah merawat Presiden terdahulu dan anggota keluarga mereka.

Pensyarah radiologi di Universiti Chicago, Prof Madya Jeffrey Leef berkata, embolisasi kerap digunakan untuk membuang ketumbuhan.

"Prosedur itu membabitkan kemasukan kateter ke dalam sistem arteri tubuh untuk menyekat salur darah," kata Leef.

Menurut pakar urologi di Hospital Lenox Hill di New York, Elizabeth Kavaler, Melania mungkin mempunyai ketumbuhan biasa buah pinggang digelar angiomiolipoma atau AML.

"Masalah ini biasa berlaku kepada wanita. Ia sejenis ketumbuhan tetapi bukan kanser," kata Kavaler. - AFP

Berita Harian X