Rabu, 10 Januari 2018 | 7:00pm
Steve Bannon
Steve Bannon

Isu buku Trump: Bannon tinggalkan Breitbart News

NEW YORK: Bekas pakar strategi Rumah Putih Presiden Donald Trump, Steve Bannon meletak jawatan daripada Breitbart News.

Tindakan itu dilakukan ketika Bannon terbabit dengan kontroversi berhubung kenyataan provokasi beliau mengenai Presiden dalam sebuah buku baharu.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas eksekutif berita berusia 64 tahun itu tidak lagi sehaluan dengan Trump berhubung komen mengejutkan berkaitan kelayakan Presiden memegang jawatan serta anggota keluarganya.

Buku bertajuk 'Fire and Fury: Inside the Trump White House', yang memaparkan Trump sebagai seorang yang goyah, tidak bersedia dan tidak stabil, menyaksikan Bannon dikecam pakar kewangan, sekutunya dan diperkecilkan Trump sendiri.

"Steve amat berharga sebagai sebahagian legasi kami dan kami sentiasa menghargai sumbangannya dan apa yang beliau bantu untuk pencapaian kami," kata Ketua Eksekutif Breitbart, Larry Solov dalam kenyataan.

Bannon berkata, beliau berbangga dengan apa yang dicapai pasukan itu dalam tempoh singkat dalam membangunkan platform berita bertaraf dunia.

Akhbar The New York Times berkata, pengunduran Bannon didorong penaung kewangan, Rebekah Mercer.

Breitbart berkata, Bannon dan syarikat itu akan 'bekerja bersama untuk peralihan lancar dan teratur' namun tidak memberi butiran lain. - AFP

Berita Harian X