Jumaat, 5 Januari 2018 | 12:56pm

Pelancaran buku pendedahan Trump dipercepatkan

WASHINGTON: Digegarkan oleh pengkhianatan dan skandal, Presiden Donald Trump, semalam cuba menyekat penerbitan sebuah buku pendedahan yang memaparkan Rumah Putih sebagai bahan umpatan, tidak cekap dan disfungsi.

Penerbit memberi tindak balas dengan mempercepatkan tarikh pelancaran empat hari lebih awal kepada hari ini.

Trump mengarahkan peguamnya menghalang penerbitan buku 'Fire and Fury: Inside the Trump White House' - satu pendedahan oleh penulis dan penyiasat politik Michael Wolff, yang memetik kata-kata pembantu utama Trump mengenai keraguan kelayakan pemimpin Amerika Syarikat (AS) untuk mentadbir.

Buku itu, memaparkan Trump sebagai tidak stabil dari segi mental, memetik panjang lebar kata-kata bekas sekutu dan ketua strategi, Steve Bannon, yang turut menerima arahan 'henti dan sekat' daripada peguam Presiden.

"Kenyataan palsu, tidak berasas penerbitan anda mengenai Mr Trump antara lain menimbulkan fitnah, pencerobohan privasi, gangguan berterusan dan dorongan pelanggaran kontrak," kata peguam Trump dalam surat kepada Wolff.

Dalam buku itu, Bannon dipetik menuduh anak lelaki sulung Trump, Don Jr sebagai 'pengkhianat' kerana berhubung dengan seorang peguam dikaitkan Kremlin dan berkata, anak perempuannya, Ivanka, yang dibayangkan bertanding sebagai penggantinya satu hari nanti, 'bodoh seperti batu.'

Namun, ia adalah Trump sendiri yang menjadi pemimpin paling dibenci sekumpulan pembantu atasannya.

Buku itu mendakwa, 'bagi Steve Mnuchin dan Reince Priebus', Presiden adalah seorang 'bodoh.'

Bagi Gary Cohn, beliau 'amat bodoh,' manakala bagi H R McMaster, beliau seorang 'penagih' dan senarai itu tidak berhenti di situ.

Rumah Putih mengeluarkan arahan penyingkiran buku itu, penulis dan sumbernya. -AFP

Berita Harian X