Selasa, 17 Oktober 2017 | 9:48am
Elton John. - Foto AFP
Elton John. - Foto AFP

Elton John akhiri persembahan di Las Vegas

NEW YORK: Legenda pop Britain, Elton John, bakal menamatkan siri persembahannya di Caesars Palace tahun depan.

Keputusan itu diumumkan oleh kasino berkenaan semalam, sekali gus mengakhiri pertunjukan lagu hit dendangan penyanyi terkenal berkenaan yang berlangsung di teater Colosseum sejak 2011.

Persembahan bertemakan 'The Million Dollar Piano' menggunakan paparan visual menerusi puluhan skrin video itu akan berakhir pada 19 Mei tahun depan.

Ketika mengumumkan penamatan itu, Caesars Palace berkata, John akan mengadakan 207 persembahan menjelang tarikh itu, berbanding 243 persembahan ketika kontraknya bersama kasino itu dari 2004 hingga 2009 yang bertemakan 'The Red Piano'.

John kembali ke Las Vegas minggu lalu selepas membatalkan beberapa persembahannya awal tahun ini, susulan masalah jangkitan bakteria yang dialaminya ketika siri jelajah di Amerika Selatan.

Bagaimanapun, masalah kesihatan dijangka tidak menjejaskan penyanyi berusia 70 tahun itu kerana beliau masih meneruskan siri jelajah ke Eropah dan Australia.

Dengan kejayaan mengungguli carta dalam tempoh 40 tahun pembabitannya, John atau terkenal dengan gelaran 'Rocket Man', masih kekal sebagai antara ahli muzik meraih pendapatan tertinggi di dunia, sama ada dari segi jualan rekod atau persembahan.

Kontrak persembahan di Las Vegas adalah pilihan sebahagian besar artis veteran untuk menjana pendapatan tanpa mengadakan siri jelajah dan yang terbaru membabitkan penyanyi Jennifer Lopez yang melanjutkan konsertnya hingga tahun depan.

Pada masa sama, insiden tembakan rambang pada 1 Oktober lalu yang mengorbankan 58 mangsa dijangka memberi kesan kepada sektor pelancongan di Las Vegas. - AFP

Berita Harian X