Sabtu, 14 Oktober 2017 | 10:30am

Gempa bumi gegarkan Mexico

MEXICO CITY: Gempa bumi berukuran 5.4 menggegarkan selatan Mexico semalam, menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), tetapi tiada laporan kerosakan diterima.

Kejadian itu belum dapat dipastikan sama ada ia adalah gegaran susulan siri gempa bumi kuat bulan lalu yang memusnahkan bangunan di ibu kota Mexico dan mengorbankan hampir 500 orang.

Menurut USGS, pusat gegaran gempa bumi itu berada di luar pantai negeri Oaxaca, dan pada kedalaman 59.5 kilometer.

Gempa bumi berukuran 8.1 menggegarkan Oaxaca pada 7 September lalu berhampiran bandar Juchitan, meranapkan ribuan bangunan di bandar itu.

Ketua perkhidmatan kecemasan Mexico City, Fausto Lugo, berkata gegaran semalam dapat dirasakan di Mexico City, tetapi tiada laporan kerosakan. - Reuters

Berita Harian X