Sabtu, 14 Oktober 2017 | 9:17am
PUTERA Harry. - Foto REUTERS
PUTERA Harry. - Foto REUTERS

Putera Harry sah hadir persidangan Yayasan Obama

CHICAGO: Putera Harry dan penyanyi Gloria Estefan serta Chance the Rapper, antara selebriti yang akan menghadiri perhimpunan selama dua hari dirancang bekas Presiden Barack Obama dan isteri, Michelle, pada akhir bulan ini dalam usaha menyokong pemimpin masa depan.

Harry dijadual memberi ucapan kepada 500 pemimpin muda dan aktivis masyarakat yang dipilih daripada 20,000 permohonan dari seluruh dunia, bagi apa yang dijanjikan Yayasan Obama sebagai bengkel kerja intensif dan peluang berkongsi idea.

Chance the Rapper dan Estefan akan mengadakan persembahan dalam konsert terbuka sebagai penutup acara itu.

Perhimpunan di negeri kelahiran Obama dianjurkan oleh yayasan sempena nama mereka, yang juga membina perpustakaan bekas presiden itu di bandar raya itu, lokasi Obama memulakan kerjaya politiknya.

"Matlamat Yayasan Obama bagi menggalakkan dan memperkasakan golongan muda untuk menghasilkan perubahan positif dalam komuniti mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Obama, David Simas, dalam kenyataan.

Antara hadirin yang ditonjolkan yayasan ialah Trisha Shetty dari India, yang menubuhkan pertubuhan SheSays bagi memerangi penderaan seksual terhadap wanita. - AFP

Berita Harian X