Jumaat, 29 September 2017 | 9:28am

Twitter gantung 200 akaun berkaitan Russia

WASHINGTON: Gergasi media sosial, Twitter berkata, pihaknya menggantung kira-kira 200 akaun yang ada kaitan dengan Russia ketika ia menyiasat dakwaan campur tangan dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 2016.

Namun senator berpengaruh Demokrat menyifatkan langkah itu tidak mencukupi.

Senator Mark Warner, yang menganggotai Jawatankuasa Perisikan Senat, memanggil pegawai Twitter memberi keterangan secara tertutup semalam sebagai sebahagian siasatan meluas mengenai pengaruh Russia pada pilihan raya itu.

Satu lagi rangkaian media sosial terkemuka, Facebook, turut berhadapan tindakan sama awal bulan ini.

Ahli perundangan kedua-dua parti mengesyaki rangkaian sosial mungkin berperanan penting dalam cubaan Moscow menyebarkan propaganda, selain perpecahan politik di AS dan membantu kemenangan Presiden Donald Trump.

Mark Warner. - Foto AFP
Mark Warner. - Foto AFP

Moscow menafikan aktiviti seumpama itu, dan Trump menyangkal sebarang perbincangan.

Twitter juga memberi taklimat kepada Jawatankuasa Perisikan Dewan Perwakilan semalam.

Warner berkata, pegawai Twitter tidak menjawab banyak soalan mengenai penggunaan platform itu oleh Russia dan masih menjadi subjek manipulasi luar. - Reuters

Berita Harian X