Jumaat, 22 September 2017 | 10:47am

Facebook serah iklan Russia kepada Kongres, pertingkat ketelusan

SAN FRANCISCO: Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerbegh, berkata iklan berkaitan Russia di rangkaian sosial ITU yang bertujuan meningkatkan ketegangan ketika pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, akan diserahkan kepada Kongres AS.

Berita mengenai keputusan itu dibuat bersama kenyataan bahawa Facebook dalam usaha memerangi usaha menggunakan rangkaian sosial popular itu untuk campur tangan dalam pilihan raya di AS atau tempat lain.

"Ini adalah cabaran baharu bagi komuniti internet untuk menangani cubaan negara lain campur tangan dalam pilihan raya," kata Zuckerberg dalam penampilan video secara langsung di laman Facebook, semalam.

Beliau mengumumkan langkah yang akan membantu menghalang manipulasi rangkaian sosial, termasuk lebih telus mengenai iklan politik yang muncul di Facebook.

Rangkaian sosial itu membolehkan sebarang pengiklan, termasuk pengendali sosial, mensasarkan kumpulan tertentu pengguna Facebook berdasarkan demografi, hobi, umur atau ciri lain yang dikongsi di media sosial.

Sebahagian penganalisis menyifatkan apa yang digelar 'iklan hitam', yang kandungannya tidak didedahkan kepada umum, boleh menyemarakkan ketegangan dan berpotensi memberi kesan kepada pilihan raya 2016.

Zuckerberg berkata, langkah baharu akan mengenal pasti kebimbangan itu.

"Kami akan membawa Facebook ke tahap ketelusan lebih tinggi.

"Bukan sahaja pengguna perlu mendedahkan laman yang dibayar untuk iklan, tetapi kami juga akan memastikan anda boleh melayari laman pengiklan dan melihat iklan yang disiarkan kepada pengguna Facebook," katanya. - AFP

Berita Harian X