Selasa, 22 Ogos 2017 | 7:31am

Dakwa hidap kanser ovari akibat guna talkum

LOS ANGELES: Juri California mengarahkan syarikat pengeluar ubat, Johnson & Johnson membayar AS$417 juta (RM1.7 bilion) kepada seorang wanita yang mendakwa menghidap kanser ovari selepas menggunakan produk berasaskan talkum keluaran syarikat itu.

Kes itu adalah satu daripada ribuan tuntutan undang-undang yang diheret ke peringkat kebangsaan, mendakwa syarikat itu gagal memberi amaran kepada pengguna mengenai risiko kanser daripada talkum di dalam produknya.

Arahan juri itu termasuk sejumlah AS$347 juta (RM1.4 bilion) ganti rugi punitif, kepada Eva Echeverria selepas beliau memfailkan saman pada Julai tahun lalu, kata seorang wakil Mahkamah Agung Los Angeles kepada AFP.

Echeverria, 63, menghidap penyakit itu selepas beberapa dekad menggunakan produk kebersihan wanita berasaskan serbuk Johnson & Johnson, menurut media.

Johnson & Johnson berkata dalam satu kenyataan ia akan membuat rayuan.

Setakat ini, juri di St Louis, Missouri juga pernah mengarahkan Johnson & Johnson membayar ganti rugi berjumlah lebih daripada AS$307 juta (RM1.3 bilion) membabitkan kes yang sama. - AFP

Berita Harian X