Sabtu, 19 Ogos 2017 | 1:46am
TRUMP memecat Steve Bannon hari ini. - Foto fail AFP
TRUMP memecat Steve Bannon hari ini. - Foto fail AFP

Ketua Strategik Rumah Putih dipecat

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memecat Ketua Strategik, Steve Bannon hari ini.

Satu sumber yang rapat dengan Bannon berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan secara sukarela.

"Bannon tidak akan melepaskan jawatannya, sebaliknya menunggu beliau dipecat oleh Rumah Putih. Hingga saat ini beliau masih melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan, termasuk beberapa projek," katanya.

Akhbar The New York Times bagaimanapun memetik kenyataan seorang individu yang akrab dengan Bannon bahawa surat peletakan jawatan beliau sudah dihantar 7 Ogos lalu.

Menurut individu terbabit, pengumuman berhubung peletakan jawatan Bannon sepatutnya dibuat minggu ini tetapi ditangguhkan susulan kekecohan dalam tunjuk perasaan di Virginia.

Bannon dilihat sebagai mencemarkan imejnya sendiri selepas bersetuju diwawancara oleh American Prospect minggu ini, yang memperlihatkan beliau seolah-olah mengenepikan kedudukan Trump dalam isu membabitkan Korea Utara.

Beliau mendakwa tidak menyedari kenyataan terbabit dirakam kerana beranggapan sedang berbual bersama seorang ahli akademik.

Bannon juga dikatakan memberitahu rakan-rakannya bahawa beliau boleh kembali menyertai agensi berhaluan kanan Breitbart News jika disingkirkan dari Rumah Putih. - Reuters

Berita Harian X