Isnin, 27 Jun 2022 | 6:39pm
Aktivis Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) turut menyertai protes ketika Sidang Kemuncak G7 Summit di Munich, Jerman, menggesa isu pemanasan global dan pemuliharaan boiodiversiti diberi perhatian serius. - Foto EPA
Aktivis Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) turut menyertai protes ketika Sidang Kemuncak G7 Summit di Munich, Jerman, menggesa isu pemanasan global dan pemuliharaan boiodiversiti diberi perhatian serius. - Foto EPA

Perlu rangka kerja baru henti kehilangan biodiversiti - WWF

NAIROBI: Masyarakat antarabangsa perlu bersetuju dengan penubuhan rangka kerja baharu disyorkan oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) untuk mengukuhkan pemuliharaan biodiversiti yang diancam perbuatan manusia dan krisis iklim.

Ketua Pengarah, WWF Antarabangsa, Marco Lambertini, menegaskan bahawa konsensus global adalah penting bagi memudahkan penubuhan pakatan penting untuk menggiatkan semula perlindungan spesies serta mempercepatkan pertumbuhan positif alam semula jadi.

"Kami memerlukan rangka kerja berasaskan sains, berwawasan dan boleh diukur untuk mengembalikan kehilangan habitat dan meletakkan kami di laluan ke arah neutraliti karbon.

"Kehilangan biodiversiti bukan saja mencetuskan krisis ekologi tetapi memburukkan lagi kemiskinan, keselamatan makanan, kekurangan air dan kemerosotan kesihatan bagi masyarakat akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mesyuarat mengenai rangka kerja biodiversiti global 2020 yang berlangsung di Nairobi, ibu negara Kenya.

Dianjurkan oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Kepelbagaian Biologi (CBD), mesyuarat pada 21-26 Jun di Nairobi itu memperkemaskan deraf akhir rangka kerja global pemuliharaan spesies untuk dekad akan datang.

Rangka kerja biodiversiti global pasca 2020 dijangka diterima pakai pada bahagian kedua dan akhir persidangan pelbagai pihak ke-15 (COP15), pada mesyuarat Konvensyen PBB mengenai Kepelbagaian Biologi yang dijadualkan pada 5 hingga 17 Disember di Montreal, Kanada.

Pengarah Dasar dan Advokasi Global di WWF Antarabangsa, Lin Li, berkata kerajaan, industri dan pertubuhan masyarakat sivil harus mempersetujui rangka kerja konsensual, berwawasan dan sumber yang mencukupi ketika mesyuarat di Nairobi bagi memulihkan planet bagi memacu pertumbuhan inklusif yang hijau.

Katanya, komuniti antarabangsa mempunyai peluang antara sekarang dan Disember ini untuk bersetuju dengan laluan baharu bagi memulihara habitat semula jadi sebagai cara untuk mencapai sasaran mereka.

"Saya menggesa komitmen politik, mobilisasi kewangan dan pembabitan pelbagai pihak yang teguh untuk mempercepatkan pelaksanaan rangka kerja biodiversiti global pasca 2020," katanya.

Sementara itu, Ketua Dasar, Penyelidikan dan Pembangunan di WWF Antarabangsa, Guido Broekhoven, berkata tindakan menangani punca utama kehilangan spesies perlu ditangani.

"Antara lain, amalan perladangan berbahaya, pencemaran dan pengeluaran serta penggunaan yang tidak mampan harus dimaklumkan dalam penubuhan rangka kerja biodiversiti global selama sedekad.

"Rangka kerja itu harus menggalakkan penyusunan semula model ekonomi untuk memastikan ia bersifat mesra alam sekitar di samping mengukuhkan daya tahan elemen yang melindungi serta menjaga tompok panas biodiversiti, " katanya. - AGENSI

Berita Harian X