Selasa, 30 November 2021 | 8:10am
(Gambar fail) Raja Mohammed VI - FOTO AFP
(Gambar fail) Raja Mohammed VI - FOTO AFP

Maghribi mahu rundingan damai Israel-Palestin disambung semula

RABAT: Maghribi akan mendesak agar rundingan damai antara Israel dengan Palestin disambung semula, titah Raja Mohammed VI, semalam, selepas hampir setahun negara ini memperbaharui hubungan dengan rejim Yahudi.

"Maghribi akan meneruskan usaha, membina kedudukan dan hubungan cemerlang dengan semua pihak serta pemegang taruh antarabangsa yang relevan, bagi menyediakan keadaan wajar untuk ia kembali ke meja rundingan," titah baginda menerusi siaran televisyen.

Negara ini memperbaharui hubungan rasmi dengan Israel, Disember tahun lalu, dua dekad selepas memutuskan pertalian itu berikutan tercetusnya intifada kedua.

Sebelum ini, pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengusahakan jalinan hubungan antara Israel dengan sejumlah negara Arab.

Dalam ucapan baginda sempena Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Raja Mohammed VI menegaskan, Maghribi bersolidariti sepenuhnya dengan rakyat Palestin serta hak mereka untuk menjadi negara merdeka di samping Israel.

Baginda turut menggesa supaya usaha dilakukan ke arah pembinaan kepercayaan, sekali gus mendesak kedua-dua belah pihak untuk mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh menghalang proses damai berkenaan.

Raja Mohammed VI yang mengetuai Jawatankuasa Al-Quds bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang bertanggungjawab melindungi kawasan suci umat Islam di Baitulmaqdis, turut memberi amaran melarang sebarang percubaan untuk menukar status perundangan, bersejarah dan demografi kota itu.

Tunjuk perasaan bagi menentang langkah menjalinkan semula hubungan dengan Israel, tercetus semalam di beberapa bandar Maghribi yang mana penduduknya memberi sokongan kuat kepada perjuangan Palestin, berdasarkan rakaman gambar dikongsikan dalam media sosial.

Pihak berkuasa mengharamkan penganjuran satu tunjuk perasaan yang dirancang di Rabat.

Seorang penunjuk perasaan, Mouad El Jouhri, 63, dilaporkan mengutuk 'pengkhianatan dan normalisasi hubungan dengan musuh' yang merujuk kepada Israel.

Ucapan Raja Mohammed VI itu menyusul beberapa hari selepas lawatan julung kali oleh Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz yang menandatangani pakatan keselamatan dengan negara ini.

Pihak pembangkang Maghribi dan kumpulan Hamas membidas langkah itu, manakala gerakan Fatah bawah Presiden Palestin, Mahmud Abbas pula menyelar tindakan berkenaan sebagai 'menikam Baitulmaqdis dari belakang.' - AFP

Berita Harian X