Khamis, 4 March 2021 | 10:58pm

20 migran maut selepas dicampak ke laut

NAIROBI: Sekurang-kurangnya 20 orang lemas selepas penyeludup mencampak puluhan migran ke laut ketika berada di perairan antara Djibouti dan Yaman.

Jurucakap Wilayah Timur dan Horn of Africa, Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), Yvonne Ndege, berkata penyelamat percaya sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh.

"Masih ada yang belum ditemui dan kerja mencari mereka diteruskan," katanya kepada AFP.

Sekurang-kurangnya 200 pendatang termasuk kanak-kanak berada dalam kapal ketika meninggalkan Oulebi di Djibouti awal semalam menuju ke Yaman, kata mangsa yang selamat.

Menurut penyelamat, kira-kira tiga puluh minit perjalanan melalui Teluk Aden, penyeludup panik dan bertindak mencampak sekitar 80 penumpang ke laut sebelum kapal itu berpatah balik ke arah Djibouti.

"Daripada 80 orang yang dipaksa meninggalkan kapal itu, hanya 60 orang dapat kembali berenang ke pantai," katanya.

Sehingga semalam, lima mayat ditemui dan dikhuatiri jumlah kematian akan terus meningkat.

Sementara itu, mangsa yang terselamat diberikan rawatan perubatan di bandar pelabuhan Djibouti, Obock dan maklumat mengenai mereka masih dikumpulkan.

Dua kejadian sama pernah dilaporkan di Teluk Aden pada Oktober lalu, yang meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa migran, kata IOM. - AFP

Berita Harian X