Rabu, 30 Disember 2020 | 9:17am
Sejak awal bulan ini, terdapat peningkatan mendadak dalam serangan di timur laut Nigeria. - Foto TRTWorld
Sejak awal bulan ini, terdapat peningkatan mendadak dalam serangan di timur laut Nigeria. - Foto TRTWorld

11 maut akibat periuk Api Boko Haram

KANO: Periuk api yang ditanam oleh pengganas Boko Haram membunuh 11 pegawai keselamatan termasuk empat tentera di timur laut Nigeria.

Tujuh pemburu yang direkrut untuk membantu tentera memerangi pemberontak Islam terbunuh semalam, ketika kenderaan mereka merempuh periuk api di Kampung Kayamla dekat luar ibu negara Borno Maiduguri.

"Tujuh pemburu mati dalam letupan dan sembilan yang lain cedera parah," kata ketua militan anti-jihad tempatan, Babakura Kolo kepada AFP.

Kolo berkata, kenderaan yang mereka naiki melanggar periuk api ketika mengejar pemberontak Boko Haram.

Sementara itu, seorang lagi anggota tentera tempatan mengesahkan kejadian itu.

Empat tentera Nigeria terbunuh kelmarin, ketika kenderaan mereka memijak periuk api yang ditanam oleh pemberontak Boko Haram di Kampung Logomani berhampiran sempadan Cameroon, kata dua sumber keselamatan kepada AFP.

Sejak awal bulan ini, terdapat peningkatan mendadak dalam serangan di timur laut Nigeria.

Minggu lalu sahaja, 40 pembalak diculik dan tiga terbunuh berhampiran sempadan Cameroon.

Pada malam sambutan Hari Krismas pula, pemberontak Boko Haram bertindak membunuh 11 orang, membakar sebuah gereja dan menahan seorang paderi di sebuah kampung dekat Chibok.

Pemberontak itu turut menculik lebih 200 pelajar sekolah enam tahun lalu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Boko Haram dan kumpulan pecahan yang dikenali sebagai ISWAP membunuh seramai 36,000 orang di timur laut sehingga memaksa kira-kira dua juta orang melarikan diri sejak 2009. - AFP

Berita Harian X