Selasa, 29 Disember 2020 | 7:38am
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP

Ketua WHO luah kebimbangan konflik di Ethiopia

GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus membuat komen peribadi mengenai kebimbangan konflik yang semakin buruk berlaku di negara kelahirannya, Ethiopia.

Dalam komen peribadi yang jarang dibuat itu, Tedros semalam menyatakan beliau kini dalam 'kesakitan' kerana konflik 'semakin buruk' di Ethiopia.

"Selain COVID-19, 2020 adalah tahun yang sangat sukar kerana negara saya menghadapi masalah," kata Tedros kepada wartawan dalam sidang media terakhir agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu tahun ini mengenai pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed, yang juga pemenang Hadiah Nobel Keamanan tahun lalu, mengarahkan operasi ketenteraan ke wilayah utara Tigray pada 4 November lalu, sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kem tentera persekutuan yang didakwa dilakukan parti pemerintah wilayah itu, Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF).

Pertempuran di Tigray menyaksikan ribuan orang mati, menurut kumpulan pemikir International Crisis Group, dan puluhan ribu pelarian kini melintasi sempadan ke Sudan.

Tedros, warga Tigray yang paling terkenal di dunia, memberitahu sidang media bahawa beliau mempunyai ramai saudara di wilayah yang bermasalah itu termasuk adik lelakinya yang gagal dikesan kedudukannya ketika ini.

"Saya belum dapat berkomunikasi dengan mereka kerana tiada sebarang komunikasi di sana," katanya.

Ethiopia mengehadkan akses media ke wilayah yang dilanda konflik itu dan komunikasi Tigray terputus sejak enam minggu lalu apabila tercetusnya konflik antara tentera persekutuan dengan pasukan pembebasan di wilayah itu.

Tedros, yang hampir setahun berada di barisan depan mengkoordinasikan tindak balas global terhadap pandemik COVID-19 memberitahu, konflik itu satu tekanan tambahan yang sangat sulit secara peribadi.

"Sama seperti tekanan akibat COVID-19, saya juga kini menderita. Saya bimbang mengenai keadaan di seluruh negara.

"Saya bukan hanya bimbang mengenai adik lelaki atau saudara-mara saya sahaja tetapi keseluruhannya kerana keadaannya semakin buruk di sana," katanya.

Bulan lalu kerajaan Ethiopia menuduh Tedros, yang pernah berkhidmat sebagai menteri kesihatan di bawah pemimpin TPLF ketika itu, Meles Zenawi antara 2005-2012 melobi untuk mengetuai pasukan bersenjata di wilayah itu.

Tedros menafikan tuduhan itu dalam tweet bulan lalu, dan menyatakan sejak kecil beliau melihat peperangan hanya membawa kerosakan dan 'menggunakan pengalaman langsung itu untuk membawa keamanan'.

"Ada laporan yang menyatakan bahawa saya memihak dalam situasi ini. Itu tidak benar.

"Saya ingin mengatakan bahawa saya hanya berada di satu pihak, iaitu sisi kedamaian," katanya.

Dalam sidang media yang sama, Tedros mengakui bimbang akan kedua-dua pandemik dan konflik di Ethiopia yang berada dalam kedudukan yang sukar.

Namun, beliau dengan nada optimis menyuarakan kegembiraannya kerana menjadi datuk sejak dua bulan lalu.

"Saya bimbang, memandangkan dua situasi sukar yang berlaku di sana, mengenai cucu saya, tetapi pada masa yang sama, percaya masih ada harapan," katanya. - Foto AFP

Berita Harian X