Sabtu, 26 Disember 2020 | 8:16pm
Anggota tentera dihantar bagi mengawal keselamatan susulan lebih 200 orang terbunuh dalam serangan tembakan di barat Ethiopia. - Foto AFP
Anggota tentera dihantar bagi mengawal keselamatan susulan lebih 200 orang terbunuh dalam serangan tembakan di barat Ethiopia. - Foto AFP

Lebih 200 terbunuh dalam serangan di Ethiopia

ADDIS ABABA: Seramai lebih 200 orang terbunuh dalam serangan tembakan di barat Ethiopia, Rabu lalu, sekali gus merekodkan peningkatan angka korban sebanyak dua kali ganda berbanding statistik sebelum ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Ethiopia (EHRC) berkata, 100 orang dibunuh ketika sedang tidur dan mayat mereka dibakar, dalam serangan sebelum fajar di kawasan Metekel, dekat wilayah Benishangul-Gumuz.

"Daripada keseluruhan mangsa yang terkorban, 133 ialah lelaki, 35 perempuan, 17 kanak-kanak, seorang bayi enam bulan dan 20 warga emas," katanya menerusi kenyataan di Twitter, semalam.

Majoriti dihuni etnik Shinasha, Oromo dan Amhara, kawasan Metekel sebelum ini berdepan siri serangan dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Masyarakat tempatan menuding jari kepada etnik Gumuz yang didakwa dalang di sebalik siri keganasan terbabit.

Susulan serangan Rabu lalu, EHRC berkata usaha giat dijalankan untuk mengenal pasti mangsa bersandarkan kad pengenalan diri dan bantuan daripada mereka yang terselamat.

Selain itu, suruhanjaya berkenaan merayu supaya pihak berkuasa berkaitan tampil menyalurkan bantuan kemanusiaan secepat mungkin kepada mangsa dan keluarga yang terpaksa berpindah berikutan insiden terbabit.

"Kira-kira 10,000 orang melarikan diri ke kawasan Bekuji Kebele dan ada berpindah ke bandar Bulen yang kini sudah menjadi tempat perlindungan bagi ribuan individu.

"Bulen kini dibanjiri orang. Jalan menuju ke bandar itu penuh dengan pelarian dan lembu yang mereka pelihara," katanya.

Pihak berkuasa wilayah pada Khamis lalu dilaporkan berkata, anggota tentera membunuh 42 lelaki yang didakwa mendalangi serangan pembunuhan kejam itu, namun tidak memberikan sebarang perincian lanjut berhubung identiti mereka.

Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed, Khamis lalu menyifatkan insiden pembunuhan di wilayah Benishangul-Gumuz ialah sangat tragik.

"Usaha kerajaan untuk merungkai isu itu belum membuahkan sebarang hasil," katanya menerusi Twitter.

Pada Oktober lalu, Abiy dilaporkan berkata, pejuang bersenjata dan terlatih di daerah Blue Nile, Sudan ialah dalang di sebalik siri keganasan. - AFP

Berita Harian X