Khamis, 24 Disember 2020 | 8:36am
 Foto yang dirakamkan pada 21 November 2020 memaparkan seorang lelaki berdiri di tepi parit di pinggir Mai Kadra, Ethiopia yang dipenuhi lebih 20 mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai pada 9 November 2020. - Foto AFP
Foto yang dirakamkan pada 21 November 2020 memaparkan seorang lelaki berdiri di tepi parit di pinggir Mai Kadra, Ethiopia yang dipenuhi lebih 20 mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai pada 9 November 2020. - Foto AFP

Lebih 100 terbunuh dalam serangan di Ethiopia

ADDIS ABABA: Sekumpulan lelaki bersenjata membunuh lebih 100 penduduk dalam serangan di barat Ethiopia semalam, menurut badan hak asasi manusia kebangsaan - siri serangan maut terbaru di kawasan itu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Ethiopia (EHRC), sebuah badan yang bergabung dengan pemerintah namun bebas, mengatakan dalam satu kenyataan semalam bahawa lebih 100 orang terbunuh dalam insiden kebakaran serta tembakan yang dilakukan kumpulan bersenjata di wilayah Benishangul-Gumuz.

Suruhanjaya itu mengatakan mangsa yang selamat mempunyai bukti bergambar serangan terhadap penduduk yang sedang tidur di zon Metekel, yang bermula pada awal pagi dan berlanjutan hingga petang.

Keganasan etnik ke atas tanah dan sumber menjadi masalah berterusan di Ethiopia di bawah Perdana Menteri, Abiy Ahmed, yang sering dilihat sebagai tindak balas kepada usaha pemenang hadiah Nobel Perdamaian untuk memimpin reformasi demokratik di negara kedua terpadat di Afrika.

Lima pegawai ditahan kerana disyaki berperanan dalam insiden itu, kata pemerintah daerah dalam satu kenyataan tanpa memberi perincian lebih lanjut mengenai kemungkinan mereka dituduh.

Sekurang-kurangnya 36 mangsa yang selamat dirawat kerana luka terkena peluru dan anak panah di sebuah hospital sekitar 90 kilometer dari tempat serangan itu berlaku, kata suruhanjaya itu.

"Selain kecederaan yang menimpa orang ramai, tanaman juga terbakar. Seorang mangsa memberitahu kami bahawa dia melihat 18 kebakaran seperti itu," menurut kenyataan itu.

Tidak ada pasukan keselamatan di daerah itu ketika kejadian, kata suruhanjaya itu sambil menjelaskan sebilangan mangsa mengatakan mereka mengenali penyerangnya dan bantuan kemanusiaan perlu dihantar untuk membantu mereka yang terlantar dan cedera.

Wilayah itu adalah penempatan bagi etnik Shinasha, Oromo dan Amhara, kata suruhanjaya itu, masing-masing etnik minoriti terbesar dan kedua terbesar di Ethiopia.

Beberapa pemimpin Amhara sudah menegaskan pemilikan zon Metekel - tuntutan yang menimbulkan ketegangan dengan etnik Gumuz di daerah terbabit.

Abiy mengunjungi zon Metekel pada Selasa dan bertemu penduduk di sebuah perjumpaan di sana dan menulis di Twitternya - "Keinginan musuh untuk memecah belahkan Ethiopia mengikut etnik dan agama masih ada.

"Ethiopia Barat mengalami serangan menyeramkan dalam beberapa bulan terakhir ini. Sekurang-kurangnya 34 orang disembelih dalam serangan di zon Metekel pada November.

Dua belas yang lain tewas dalam serangan berasingan di zon itu pada Oktober dan 15 mati dalam serangan serupa pada akhir September. - AFP.

Berita Harian X