Sabtu, 19 Disember 2020 | 11:54am
Serangan kumpulan bersenjata di Katsina mengakibatkan lapan maut termasuk tiga polis. FOTO AFP
Serangan kumpulan bersenjata di Katsina mengakibatkan lapan maut termasuk tiga polis. FOTO AFP

Tiga polis antara lapan maut di Katsina, Afrika

KANO: Lapan orang, termasuk tiga anggota polis, terbunuh kelmarin ketika kumpulan penculik menyerang konvoi membawa 'Emir' negara Katsina, barat laut Nigeria, kata polis.

Jurucakap polis Katsina, Gambo Isah, berkata sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke atas konvoi pemimpin Kaura Namoda di Zamfara, Muhammadu Sanusi.

Katanya, serangan itu mengakibatkan tiga polis pengiring dan lima pengawal kerajaan terbunuh.

"Sepasukan anggota polis tiba di tempat kejadian, menyelamatkan 'Emir' dan menemui lapan mayat," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, anggota polis berbalas tembakan dengan penyerang menyebabkan kenderaan dipandu terbalik, terseret di atas jalan sebelum terhumban ke dalam kolam berhampiran.

Konvoi itu dalam perjalanan ke Zamfara dari ibu negara Nigeria, Abuja ketika diserang di Kota Funtua.

Serangan berlaku seminggu selepas ratusan pelajar sekolah sekolah berasrama penuh diculik di Kankara, Katsina.

Sebanyak 344 kanak-kanak lelaki dibebaskan pada Khamis lalu dan bertemu kembali dengan ibu bapa mereka pada Jumaat lalu.

Barat laut Nigeria dikawal kumpulan penjenayah yang menyerang kampung, mencuri lembu, menculik demi wang tebusan dan membakar rumah selepas merompak.

Kumpulan itu juga menculik pelancong di pusat pemeriksaan palsu yang diwujudkan mereka di lebuh raya. Tebusan biasanya dibebaskan selepas wang tebusan dibayar.

Keluarga mangsa yang gagal membayar wang tersebut akan dibunuh. Penculik dipercayai bersembunyi di hutan Rugu yang dikongsi empat negeri iaitu Katsina, Kaduna, Niger dan Zamfara. - AFP

Berita Harian X