Jumaat, 27 November 2020 | 8:43pm
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro. - Foto AFP
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro. - Foto AFP

Bolsonaro tidak akan ambil vaksin

RIO DE JANEIRO: Presiden Brazil Jair Bolsonaro memaklumkan tidak akan mengambil vaksin COVID-19 walaupun selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan yang diterajuinya.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman sosial semalam, Bolsonaro berkata, perkara itu adalah haknya.

"Saya memberitahu anda, saya tidak akan mengambilnya (vaksin)," katanya.

Setakat ini Brazil mencatatkan lebih 170,000 kematian akibat COVID-19 dan berada di belakang Amerika Syarikat.

Bolsonaro berdepan pelbagai kritikan terhadap cara beliau menangani pandemik berkenaan, antaranya dengan tidak membesar-besarkan perkara itu, menentang pelaksanaan perintah berkurung dan mempromosikan ubat hydroxychloroquine walaupun kajian menunjukkan ia tidak berkesan menentang COVID-19.

Malah, beliau turut dijangkiti virus pandemik itu pada Julai lalu, manakala lebih separuh daripada Kabinetnya disahkan positif COVID-19 dalam tempoh beberapa bulan.

Katanya, sebaik rawatan diluluskan oleh badan kawal selia kesihatan Brazil, kerajaan akan mengaturkan pembelian dan pengagihannya dengan segera kepada mereka yang memerlukannya.

Bagaimanapun, beliau berkata Parlimen Brazil tidak akan mewajibkan perkara itu (imunisasi).

Rabu lalu, syarikat farmaseutikal gergasi, Pfizer, memberikan keputusan ujian yang dijalankan kepada pejabat kesihatan kawal selia Brazil, sebagai langkah penting bagi melulus dan mendaftarkan vaksin berkenaan.

Kementerian Kesihatannya sudah bersetuju untuk membeli 100 juta dos daripada pelbagai pengeluar vaksin antaranya AstraZeneca dan Oxford University. - AFP

Berita Harian X