Jumaat, 27 November 2020 | 10:08am
Orang ramai menyaksikan kerja mencari dan menyelamat pelombong haram yang terperangkap di bawah runtuhan tanah Lombong Emas Ran di Bindura, Zimbabwe. - Foto AFP
Orang ramai menyaksikan kerja mencari dan menyelamat pelombong haram yang terperangkap di bawah runtuhan tanah Lombong Emas Ran di Bindura, Zimbabwe. - Foto AFP

40 pelombong haram terperangkap dalam tanah runtuh

BINDURA: Kira-kira 40 pelombong haram terperangkap di bawah tanah selepas lohong dalam lombong emas terbiar runtuh dekat timur laut Zimbabwe.

Ketua Persekutuan Pelombong Zimbabwe, Wellington Takavarasha, berkata tragedi itu berlaku kelmarin di bandar Bindura, sekitar 70 kilometer (km) dari utara ibu kota, Harare.

Wartawan AFP menyaksikan sendiri penyelamat sedang mengepam keluar air yang memenuhi lohong utama dengan harapan dapat membuka jalan masuk bagi menyelamatkan mangsa.

Menurut Takavarasha, pelombong yang terperangkap itu bekerja dalam pondok di Lombong Emas Ran ketika lohong berkenaan runtuh.

"Setakat ini, enam pelombong berjaya dibawa keluar serta dikejarkan ke hospital dan menurut mereka yang diselamatkan, ada sekitar 40 orang dalam lombong pada waktu kejadian," katanya.

Pengarah Unit Perlindungan Awam, Nathan Nkomo, berkata pihaknya difahamkan ada beberapa sindiket perlombongan yang melombong di situ.

"Selepas beberapa tiang diletupkan, keseluruhan lombong runtuh," katanya sambil menambah angka sebenar pelombong yang terbabit belum ditentukan.

Ketika usaha menyelamat dijalankan, ratusan orang berkumpul di atas timbunan tanah berdekatan kawasan lombong dipenuhi lubang di celahnya yang digali oleh pelombong untuk mengeluarkan bijih.

Sebahagian besar adalah saudara mara yang duduk di bawah pokok sambil menunggu maklumat dari pihak berkuasa.

Selain itu, syarikat pengebumian juga dilihat mula mendirikan khemah di lokasi.

Pondok lombong berkenaan ditutup sepuluh tahun lalu dan pekerja yang diberhentikan tetap meneruskan kerja melombong emas secara haram. - AFP

Berita Harian X