Isnin, 23 November 2020 | 6:32am
 Kumpulan bersenjata membunuh lima jemaah dan menculik 18 jemaah ketika solat Jumaat di Zamfara, Nigeria. - Foto AGENSI
Kumpulan bersenjata membunuh lima jemaah dan menculik 18 jemaah ketika solat Jumaat di Zamfara, Nigeria. - Foto AGENSI

Lima terbunuh serangan masjid di Nigeria

KANO, NIGERIA: Kumpulan bersenjata membunuh lima jemaah dan menculik 18 lagi dalam serangan di sebuah masjid di Zamfara, Nigeria ketika solat Jumaat, menurut polis semalam.

Kira-kira 100 individu bermotosikal melepaskan tembakan ke arah jemaah di kampung Dutsen Gari, lokasi yang terpencil di daerah Maru.

Penyerang membunuh lima jemaah dan menculik 18 yang lain, termasuk imam," kata jurucakap polis negara, Mohammed Shehu kepada AFP.

Penduduk bagaimanapun mengatakan lebih 30 jemaah diculik.

"Individu bersenjata menyerang masjid ketika imam menyampaikan khutbah dan membawa lebih 30 orang, termasuk imam, selepas menembak mati lima jemaah," kata seorang penduduk, Ibrahim Altine kepada AFP.

Northwest Nigeria adalah pusat bagi kumpulan penjenayah menyerang kampung, mencuri ternakan, menculik untuk wang tebusan dan membakar rumah selepas merampas bekalan makanan.

Kumpulan penjenayah itu mendiami kem di hutan Rugu yang melintasi negeri Katsina, Zamfara, Kaduna dan Niger, tempat mereka melancarkan serangan.

Rundingan damai dengan pihak berkuasa tempatan gagal menamatkan serangan.

Tidak seperti Boko Haram, kumpulan penjenayah itu tidak memiliki kecenderungan ideologi, namun kebimbangan semakin meningkat bahawa anggota militan secara beransur-ansur menyusup masuk ke dalam kumpulan itu. - AFP

Berita Harian X