Rabu, 18 November 2020 | 12:46pm
Tentera dan rakyat Congo berdepan ancaman serta serangan kumpulan ADF. FOTO AFP
Tentera dan rakyat Congo berdepan ancaman serta serangan kumpulan ADF. FOTO AFP

35 maut dibunuh pemberontak di timur Congo

YAOUNDE: Sekurang-kurangnya 35 orang maut akibat dibunuh pemberontak di timur Congo, lapor agensi Anadolu.

Sementara itu, empat orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera selepas pemberontak menyerang Kampung Kokola di Beni dekat wilayah Kivu Utara, menurut laporan Radio Okapi kendalian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selesa, yang memetik pegawai kerajaan.

Kumpulan pemberontak dari Uganda, Pasukan Demokratik Bersekutu (ADF) dituding dalang melakukan serangan kejam itu.

Dalam kejadian berasingan, 29 mayat ditemui pada Isnin hasil rondaan tentera Congo di kawasan Mwalika di Beni.

"Setakat ini sekurang-kurangnya 811 orang awam terbunuh di wilayah ini sejak 31 Oktober 2019," kata Pasukan Keselamatan Kivu (KST) iaitu projek bersama dengan Kumpulan Penyelidikan Congo dan Pemerhati Hak Asasi Manusia.

"Serangan di Kokola berlaku sekitar jam 6 pagi waktu tempatan. Buat masa ini, tidak ada penduduk dipindahkan. Kami meminta penduduk untuk kekal bertenang," kata pegawai pentadbiran di wilayah Eringeti, Sabiti Mbafumoja seperti dipetik laporan Radio Okapi.

Beliau mendakwa, mangsa yang cedera dibawa ke hospital tempatan.

Negara di Afrika Tengah itu bergelut bagi memerangi kumpulan pemberontak sejak lebih dua dekad lalu.

ADF yang muncul timur laut Uganda pada 90-an, menyerang dan membunuh orang awam di Congo selama beberapa dekad.

Menurut PBB, eksploitasi sumber asli secara haram terus menjadi punca dan pencetus konflik di timur negara itu. - BERNAMA

Berita Harian X