Isnin, 16 November 2020 | 9:14am
Williams pada sidang media di Tunisia, semalam. - FOTO EPA
Williams pada sidang media di Tunisia, semalam. - FOTO EPA

Rundingan Libya berakhir tanpa penamaan eksekutif interim

GAMMARTH (TUNISIA): Rundingan diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sasaran melantik pentadbiran interim di Libya, berakhir semalam tanpa sebarang penamaan eksekutif terbabit, menurut badan dunia itu.

Pelantikan pentadbiran sementara yang disasarkan itu bertujuan membantu menamatkan konflik yang telah berlarutan selama sedekad.

"Kami bersetuju untuk bersidang semula dalam masa kira-kira seminggu, secara maya (bagi) mempersetujui mekanisme pemilihan pihak berkuasa yang akan datang," kata perwakilan interim PBB ke Libya, Stephanie Williams, kepada wartawan.

Beliau turut memaklumkan, 'tiada nama dibincangkan' ketika mesyuarat itu yang berlangsung di negara ini.

Fasa terbaru dalam usaha diperbaharui bagi mencapai perdamaian di negara Afrika Utara itu, membabitkan 75 delegasi dipilih oleh PBB untuk mewakili pelbagai pihak.

Mereka dikehendaki merangka pelan menuju pilihan raya, menetapkan mandat eksekutif interim dan menamakan anggotanya. - AFP

Berita Harian X