Ahad, 15 November 2020 | 4:05pm
Sebahagian rakyat Ethiopia yang melarikan diri dari Tigray ke perkampungan sempadan Sudan. - FOTO AFP
Sebahagian rakyat Ethiopia yang melarikan diri dari Tigray ke perkampungan sempadan Sudan. - FOTO AFP

Roket dari Tigray mengenai ibu kota negara jiran - Diplomat

ADDIS ABABA: Roket dibedil dari wilayah Tigray di Ethiopia, dilaporkan mengenai ibu kota negara jiran, Eritrea, semalam, menurut diplomat.

Kejadian itu sekali gus memberi petunjuk baharu bahawa konflik dalaman Ethiopia kini merebak ke luar sempadannya.

"Laporan yang kami terima menunjukkan beberapa roket mengenai kawasan berhampiran lapangan terbang di ibu kota Eritrea, Asmara," kata seorang diplomat.

Pada 4 November lalu, Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed yang juga pemenang Hadiah Nobel Keamanan tahun lalu, mengumumkan beliau telah mengarahkan operasi ketenteraan di Tigray.

Ia berikutan peningkatan dramatik permusuhan sekian lama dengan parti pemerintah wilayah itu, Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF).

Ratusan orang dilaporkan terkorban dalam konflik di negara kedua paling ramai penduduk di Afrika itu.

Selain itu, ribuan penduduk bertindak menyelamatkan diri daripada pertempuran dan serangan udara di Tigray, dengan melintas ke negara jiran, Sudan. - AFP

Berita Harian X