Sabtu, 14 November 2020 | 10:05am

Pilihan raya Libya hujung tahun depan

TUNIS: Wakil Libya yang menghadiri rundingan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersetuju mengadakan pilihan raya Disember tahun depan, menurut PBB pada Jumaat.

Menerusi rundingan yang berlangsung di Tunisia, perwakilan bersetuju bahawa pemilihan boleh dilangsungkan pada 24 Disember 2021, kata pemangku wakil PBB, Stephanie William kepada pemberita dalam sidang media maya.

Badan dunia itu mengadakan rundingan di Tunis untuk membuat perjanjian mengenai peralihan kerajaan baharu bagi negara itu yang bergolak akibat konflik sejak 2011 di mana berlaku pemberontakan menggulingkan pemimpin diktator, Moamer Kadhafi.

Pentadbiran akan ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan dan mempersiapkan pilihan raya serta menangani krisis ekonomi dan wabak COVID-19 yang membunuh lebih 900 orang di negara itu.

Rundingan politik di Tunisia sejajar dengan rundingan ketenteraan untuk mengisi perincian perjanjian gencatan senjata pada Oktober, yang secara rasmi mengakhiri pertempuran selama setahun antara pasukan Libya timur dan barat.

Seramai 75 perwakilan menghadiri rundingan berkenaan yang mana mereka dipilih oleh PBB untuk mewakili institusi sedia ada dan kepelbagaian masyarakat Libya.

Namun, segelintir warga Libya mempersoalkan kredibiliti dan mengkritik cara mereka dipilih.

Bagaimanapun, Williams berkata momentum adalah untuk menentang pelaku 'status quo' yang berusaha mempertahankan hak istimewa mereka sekarang.

Pusat Dialog Kemanusiaan, yang membantu melicinkan rundingan berkata, kerajaan baharu tidak akan memerlukan undi percaya dari Dewan Rakyat Libya (HoR).

HoR yang dipilih pada 2014, berpusat di timur Libya dan bersekutu dengan Panglima Tentera Khalifa Haftar, yang melancarkan serangan pada April 2019, untuk menawan ibu kota Tripoli dari sebuah kerajaan perpaduan yang diiktiraf oleh PBB.

Tentera kerajaan properpaduan mengakhiri kebuntuan selama berbulan-bulan pada Jun dengan mendorong tentera Haftar kembali ke timur.

Kedua-dua pihak menandatangani perjanjian gencatan senjata pada Oktober, menjadikan detik itu usaha diplomatik yang baharu bagi menyelesaikan konflik politik yang sudah lama berlaku. - AFP

Berita Harian X