Jumaat, 13 November 2020 | 6:32am
 Antara mangsa yang terselamat dalam tragedi bot karam di luar perairan Libya. - Foto EPA-EFE
Antara mangsa yang terselamat dalam tragedi bot karam di luar perairan Libya. - Foto EPA-EFE

74 migran maut bot karam di perairan Libya - PBB

GENEVA: Sekurang-kurangnya 74 migran dilaporkan terbunuh dalam insiden bot karam di perairan Libya pada Khamis, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Organisasi dunia itu turut mengesahkan pengawal pantai dan nelayan sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih terselamat dalam insiden berkenaan.

Menurut Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) PBB, insiden itu adalah bencana terbaharu dalam siri tragedi membabitkan sekurang-kurangnya lapan kes seumpamanya di tengah Mediterranean sejak awal Oktober lalu.

"Petugas IOM melaporkan insiden bot karam yang dahsyat yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 74 migran di luar pantai Khoms," kata agensi itu dalam satu kenyataan.

"Bot itu dilaporkan membawa lebih 120 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.

"Empat puluh tujuh mangsa yang terselamat dibawa ke pantai oleh pengawal pantai dan nelayan, manakala 31 mayat ditemui ketika pencarian mangsa terus dilakukan."

Khoms adalah sebuah bandar pelabuhan terletak 120 kilometer di sebelah barat ibu kota Tripoli.

IOM berkata dua hari sebelum ini, sekurang-kurangnya 19 orang termasuk dua kanak-kanak, lemas selepas dua bot terbalik di tengah Mediterranean.

"Kehilangan nyawa yang semakin meningkat di Mediterranean adalah manifestasi daripada ketidakmampuan negara-negara mengambil tindakan tegas untuk menggunakan keupayaan mencari dan menyelamat," kata ketua misi IOM Libya, Federico Soda.

Menurut IOM, sepanjang tahun ini, sekurang-kurangnya 900 orang lemas di Mediterranean ketika cuba menyeberang ke pantai Eropah - ada yang disebabkan oleh kelewatan usaha menyelamat.

Lebih 11,000 yang lain dikembalikan ke Libya, sekali gus meletakkan mangsa dalam risiko pelanggaran hak asasi manusia, penahanan, penyalahgunaan, perdagangan dan eksploitasi.

Menurut IOM, pihaknya merekodkan peningkatan pergerakan migran dari Libya dengan kira-kira 1,900 dipintas dan dikembalikan dan lebih daripada 780 orang berjaya tiba di Itali dari Libya sejak awal Oktober. - AFP

Berita Harian X