Ahad, 1 November 2020 | 9:18am
- Foto MetricsAfrica
- Foto MetricsAfrica

Sekurang-kurangnya 21 maut dalam serangan militan ADF

BENI, DR CONGO: Pihak berkuasa pada Sabtu mengesahkan sekurang-kurangnya 21 orang maut dalam kejadian yang dianggap pembunuhan beramai-ramai disyaki dilakukan militan kumpulan Pasukan Bersekutu Demokratik (ADF) di timur laut Republik Demokratik (DR) Congo.

Menurut pentadbir tempatan, Donat Kibwana dari wilayah Beni di Utara Kivu, serangan pertama ADF membabitkan sekumpulan anggota tentera Congo sebelum membunuh penduduk di Kampung Lisasa.

Katanya, sehingga kini jumlah kematian awal yang dilaporkan adalah seramai 21 individu.

ADF yang ditubuhkan pada 1990-an adalah kumpulan pemberontak Islam Uganda, iaitu satu daripada 100 militan yang mengancam wilayah timur republik itu.

Kumpulan itu sebelum ini dipercayai membunuh hampir 600 orang awam sejak ia melancarkan serangan pada November tahun lalu.

Pembunuhan itu dipercayai dilakukan sebagai tindakan balas dendam terhadap operasi tentera atau bagi memberi amaran kepada penduduk tempatan supaya tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Kumpulan ADF bagaimanapun tidak pernah bertanggungjawab terhadap semua serangan terbabit walaupun sejak April 2019 sebahagian serangan berkenaan didakwa dilakukan 'Islamic State-Afrika Tengah.

Pada 21 Oktober lalu, ratusan tahanan melarikan diri dari penjara di Beni dalam serangan kumpulan lelaki bersenjata.

Polis kemudiannya menyalahkan ADF sementara Islamic State mengakui melakukannya. - AFP

Berita Harian X