Isnin, 26 Oktober 2020 | 8:46am
 Perairan antarabangsa utara Libya di Laut Mediterranean. - Foto AFP
Perairan antarabangsa utara Libya di Laut Mediterranean. - Foto AFP

11 maut bot karam di perairan Libya

TRIPOLI: Sekurang-kurangnya 11 migran maut pada Ahad selepas bot yang dinaiki mereka karam berhampiran pantai Libya, kata sebuah agensi berkaitan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Tragedi sama berlaku apabila 20 kematian dilaporkan minggu lalu dalam usaha migran melarikan diri ke Eropah.

"Sekurang-kurangnya 11 migran lemas selepas bot mereka karam pagi ini, manakala 10 lagi diselamatkan oleh nelayan dan pihak keselamatan pantai," kata jurucakap Pertubuhan Kebangsaan Migran (IOM), Safa Msehli, dalam ciapan di Twitter.

Sejak berdekad lalu, Libya berdepan dengan pergolakan keganasan dan ketidakadilan, malah menjadi lokasi utama penyeludupan manusia untuk migran mencari kehidupan baharu di Eropah.

Mereka terpaksa menaiki bot yang tidak mampu belayar di laut dan kebanyakannya tidak berjaya sampai.

IOM berkata, minggu lalu, dua bot turut karam di tengah laut Mediterranean dan meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa termasuk seorang kanak-kanak.

"Petang Khamis lalu, sebuah bot karam di pantai Lampedusa, Itali. Seramai 15 migran dari Libya, Maghribi, Tunisia dan Algeria diselamatkan nelayan dan dibawa ke pelabuhan," kata agensi itu.

Antara yang dilaporkan maut adalah empat warga Libya serta seorang rakyat Maghribi.

"Kehilangan nyawa di tengah laut Mediterranean berterusan dan kita sudah bertahun melaporkan perkara ini, yang dikaitkan dengan operasi menyelamat di laut yang kurang komprehensif," kata Ketua Misi IOM, Federico Soda di Twitter.

Sejak Januari lalu, seramai 500 migran dilaporkan maut dalam perjalanan berbahaya itu dan lebih 10,000 lagi berjaya disekat oleh Pengawal Pantai Libya dan dibawa balik ke negara itu, yang mana mereka dikatakan akan berdepan dengan penyeksaan di wajah, pemerasan dan hukuman melampau lain. - AFP

Berita Harian X